JOHOR BAHRU – Sebanyak 6,680 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) melibatkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam telah dikeluarkan kepada pesalah termasuk 15 remaja di seluruh negara, sejak awal tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,866 pesalah merupakan warganegara asing yang bekerja di negara ini.
“15 kes membabitkan remaja itu kebanyakannya berlaku di Kuala Lumpur. Faktor usia bukan jadi penghalang untuk dikenakan tindakan, kanak-kanak pun boleh diberikan NPK jika buang sampah kecil di tempat awam.
“Remaja berusia 16 hingga 18 tahun terbabit akan menjalani proses hukuman yang sama termasuk program khidmat masyarakat (PKM), namun ia perlu dilaksanakan dengan mengambil pendekatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Sinergi Kasih Madani Komuniti Lestari dan Selamat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.
Sehingga kini, seramai 289 pesalah telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan 158 daripadanya selesai menjalani PKM di bawah pemantauan anggota penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di lokasi terpilih. – KOSMO! ONLINE














