PETALING JAYA – Penjawat awam di seluruh negara hari ini dilihat ceria apabila pembayaran gaji bulan Mei mula dikreditkan ke akaun masing-masing sejak awal pagi tadi.
Di media sosial, ramai kakitangan kerajaan berseloroh mengenai ‘mood gaji’ termasuk berkongsi rancangan untuk sarapan dan makan tengah hari selepas menerima bayaran emolumen bulanan.
Menerusi satu hantaran tular di aplikasi Threads oleh pengguna dikenali sebagai @Ridhwan360, dia berseloroh dengan bertanya sama ada penjawat awam hari ini akan menikmati sarapan ‘chicken chop’.
Hantaran tersebut kemudian dibanjiri pelbagai reaksi lucu netizen dengan ada yang mengakui baru merancang untuk makan lebih ‘mewah’ selepas gaji masuk.
“Selamat hari gaji penjawat awam. Tahniah kerana berjaya bertahan selama 35+- hari tanpa gaji. Rancanglah kewangan sebaiknya! Bayar hutang dan jangan boros. Jom makan stik,” komen @Fikri.
“Nak makan mewah dengan keluarga selepas tunggu lama gaji,” komen @Hisham.
“Nak pergi beli-belah. Lama berjimat-cermat ni. Nak ‘reward’ diri,” komen @Tisya pula.
Terdahulu, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) menetapkan pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Mei 2026 adalah pada hari ini, 21 Mei 2026.
Sebelum ini, penjawat awam turut menikmati tempoh jarak gaji yang agak singkat apabila pembayaran gaji April dibuat pada 16 April lalu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, menjadikan jarak antara gaji April dan Mei hanya sekitar 35 hari.
Situasi itu menyebabkan ramai penjawat awam sebelum ini bergurau mengenai fasa ‘poket kering’ selepas melalui tempoh lebih sebulan menunggu hari gaji seterusnya.- KOSMO! ONLINE














