SAAT ramai orang berdebat tentang olahan unik kacang pistachio (pistasio) dalam hidangan savori seperti keli bakar, ayam gepuk, nasi lemak dan sebagainya, pemuda ini turut mengambil pendekatan unik dengan menampilkan olahan menu menggunakan teh matcha.
Menjual aneka menu burger di bawah jenama Burger JI Legend, tindakan pemuda itu memperkenalkan burger matcha menambah lagi kehangatan perdebatan ramai tentang kewujudan makanan pelik di media sosial.
Menurut Ganesh Moorthy, 33, yang juga pengasas Burger JI Legend, burger matcha merupakan menu olahannya sendiri hasil daripada ilham dan minatnya terhadap minuman teh itu.
“Saya memang suka minum teh matcha dan telah mencuba pelbagai jenama hingga pada saat orang bercakap tentang sajian dengan pistasio saya terfikir kenapa tidak kita olah matcha dalam burger.
“Mengambil ilham itu saya cuba bereksperimen dengan matcha dan menjadikan sebagai sos untuk dipadankan dengan menu burger di kedai kami,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di gerai
Burger JI Legend, Jalan Puchong Mesra, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, dia mengambil masa sehari untuk mengolah resipi burger matcha dan kemudian mencuba bersama isteri terlebih dahulu.
Selepas berpuas hati dengan hasilnya dia kemudian cuba mendapatkan maklum balas daripada pelanggan dengan memperkenalkan menu itu di kedainya dan menawarkan mereka untuk mencuba terlebih dahulu secara percuma.
Sepanjang tempoh percubaan, Ganesh memberitahu, dia tidak menyangka menu dengan warna hijau itu diterima baik oleh pelanggan, malah ada yang memesannya setiap kali datang ke gerai.
“Saya tidak menyangka bahawa ramai yang suka dengan buger matcha dan maklum balas yang diterima juga sangat positif meskipun ada yang memandang sinis kerana kombinasi itu kelihatan pelik.
“Selain burger matcha, saya juga bereksperimen dengan pelbagai menu unik di gerai yang mana sebelum ini juga mendapat respons positif daripada pelanggan,” ujarnya yang turut menawarkan menu burger menarik seperti burger roti canai, burger acar daun pisang, burger gepuk dan lain-lain.
Menu dengan kombinasi bahan unik seperti pistasio, matcha dan lain-lain menjadi antara trend dalam dunia kulinari tempatan dan antara topik perbualan hangat di media sosial.
Kreativiti ini tidak hanya mengundang sokongan, malah ramai juga yang mengecam kerana dilihat hanya sekadar gimik dan mencemarkan identiti kulinari tanah air.
Ada yang mengatakan eksperimen bahan makanan digelar sebagai ‘sampah’, hingga segelintir pempengaruh menyelar sajian itu selepas mencubanya.
Malah, kewujudan peniaga yang menjual makanan-makanan unik ini juga tumbuh seperti cendawan selepas hujan, seolah tidak mahu ketinggalan meraih keuntungan daripada trend popular itu.
Kekecohan di media sosial ini bagaimanapun tidak mematahkan semangat peniaga yang turut mempertahankan ciptaan mereka dan menyatakan bahawa ia tidak seteruk yang digembar-gemburkan.
Bagi Ganesh, dia tidak melatah meskipun menu ciptaannya itu turut mendapat kecaman teruk di media sosial. Dia percaya apa yang dihasilkan adalah caranya untuk menampilkan keunikan di kedainya sekali gus mewarnai pilihan kulinari di Malaysia.
“Saya mencipta makanan bukan sekadar gimik, tetapi setiap menu dihasilkan dengan penuh teliti supaya kena dengan tekak orang kita.

“Dalam burger matcha, saya tidak menggunakan serbuk teh semata-mata tetapi saya campur dengan pelbagai bahan lain supaya profil rasanya itu sesuai untuk diletakkan pada burger,” jelasnya yang kini menawarkan lebih 30 seleksi burger di gerainya.
Selain Ganesh, pengasas restoran Celup Tepung Ikan Bakar, Muhammad Khairunnaim Mohd Sobri, 35, atau lebih dikenali sebagai Ayiem turut mengambil pendekatan sama dengan menampilkan menu unik di kedainya.
Menawarkan menu savori dengan campuran pistasio, Ayiem mengatakan bahawa setiap menu yang dihasilkan bukanlah sekadar mengikut trend atau gimik untuk viral tetapi sajian tersebut mempunyai potensi dan sesuai dipadukan dengan sajian tersebut.
Kongsinya, dia menawarkan pelbagai menu dengan campuran pistasio seperti nasi lemak, ayam gepuk, maggi dan kuah shell out pistasio.
“Saya melihat ciptaan menu-menu ini tidaklah terlalu pelik melainkan orang ramai belum terbiasa dengannya dan situasi ini sama seperti pada awal nasi lemak strawberi diperkenalkan.
“Setiap sajian dihasilkan adalah daripada pengalaman saya sebagai pempengaruh makanan dan pernah mencuba pelbagai makanan pelik, malah lebih tidak masuk akal daripada campuran pistasio,” kongsinya.
Meskipun dalam media sosial ramai mengecam, hakikatnya Ayiem telah menyaksikan ramai berubah fikiran selepas mencuba makanan itu sendiri.
Katanya dalam konsep pistasio, ia sama seperti kacang gajus dalam ayam gepuk iaitu untuk menyeimbangkan rasa pedas pada sambal.
“Mungkin kerana warnanya hijau orang ramai rasa pelik tetapi pada profil rasa ia sesuai dengan makanan savori seperti sambal dan tidaklah menjadikan makanan itu manis seperti pencuci mulut.
“Pada masa sama, kita masih rasional dan semua menu pistasio bukanlah dicipta semberono, kita pastikan ia sesuai dan boleh diterima terlebih dahulu sebelum diperkenalkan,” tambahnya yang beroperasi di Rawang.
Kedua-dua peniaga ini percaya bahawa menu unik sebegini bukanlah merosakkan dunia kulinari di Malaysia, tetapi menambah keistimewaan dan keunikan untuk menarik orang ramai, malah pelancong untuk mencubanya.
Dalam pada itu, cef selebriti, Anis Nabilah berpandangan fenomena ini menunjukkan keberanian pengusaha makanan untuk mencuba sesuatu yang baharu dan mencipta kelainan dalam pasaran yang kompetitif.
Namun, beliau menegaskan sesuatu inovasi tidak seharusnya dibuat semata-mata untuk mengejar populariti, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kesesuaian rasa, penerimaan pelanggan dan potensi komersialnya.
“Trend makanan unik mencerminkan gabungan kreativiti dan strategi pemasaran.
“Saya percaya industri makanan Malaysia perlu terus berani bereksperimen, namun setiap pembaharuan harus mempunyai tujuan yang jelas dan mampu menambah nilai kepada sesuatu hidangan,” katanya.
Dalam konteks makanan tradisional, Chef Anis menekankan kepentingan mengekalkan identiti asal sesuatu hidangan.
Inovasi dianggap berjaya apabila ia masih mengekalkan jiwa dan karakter asal makanan tersebut sambil menawarkan nilai tambah dari segi rasa, nutrisi atau pengalaman pengguna.
Pada masa yang sama, kata Anis lagi penggunaan bahan-bahan popular seperti matcha atau pistasio perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menghilangkan nilai budaya dan warisan makanan tradisional Malaysia.














