SHAH ALAM – Hutang peribadi menjadi punca utama kebankrapan penjawat awam apabila 197 daripada 200 kes direkodkan seluruh negara bagi tempoh empat bulan tahun ini membabitkan pinjaman kewangan dan komitmen individu.
Pengarah Insolvensi Selangor, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail ketika mendedahkan perkara itu memaklumkan lebih membimbangkan apabila empat daripada keseluruhan 200 kes melibatkan hutang melebihi RM4 juta.
Katanya, tahap keberhutangan itu dipercayai termasuk pinjaman perniagaan atau penggunaan nama individu untuk tujuan pinjaman syarikat.
“Manakala selebihnya adalah antara RM100,000 hingga RM4 juta. Ini menunjukan tahap keberhutangan serius seterusnya menunjukan tahap kewangan orang Malaysia adalah tidak stabil,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan program literasi kewangan, impak kebankrapan dan dasar peluang kedua peringkat negeri Selangor.
Menurut Tengku Intan Suraya, lebih menyedihkan apabila kebanyakan mereka yang diisytiharkan bankrap tersebut daripada kumpulan sokongan dan pelaksana dengan purata umur 35 hingga 40 tahun selain telah membuat pinjaman lebih 10 tahun selepas memasuki sistem perkhidmatan awam.
“Kumpulan paling ramai terlibat dalam kebankrapan ialah penjawat awam kategori sokongan dengan majoritinya lelaki. Malah data kebangsaan menunjukkan kira-kira 70 peratus kes melibatkan lelaki dengan nisbah sekitar satu berbanding dua kerana golongan itu lazimnya menjadi penyumbang utama kewangan keluarga,” katanya.
Tambah beliau, antara punca lain kebankrapan ialah pinjaman perumahan, kenderaan serta penggunaan kad kredit untuk menampung kos kehidupan harian.
“Ada juga kes berpunca daripada ‘overlap’ hutang iaitu membuat pinjaman baharu untuk menampung hutang lama, namun semuanya berakar daripada pinjaman peribadi. Kesedaran kewangan amat penting agar penjawat awam tidak terjerumus dalam beban hutang tinggi atau mempunyai ‘selera kewangan’ yang tidak sepadan dengan kemampuan,” ujarnya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, Sarawak mencatat jumlah penjawat awam bankrap tertinggi iaitu 23 orang, diikuti Melaka (22) dan Selangor (18).
Mengulas isu membabitkan guru, beliau memaklumkan seramai 46 guru di seluruh negara terlibat dalam tempoh sama, dengan Melaka mencatat angka tertinggi iaitu 13 orang, manakala Selangor dua kes.
“Kolabrasi dilakukan dengan jabatan dan agensi dalam memberikan kesedaran dan pencegahan agar tidak terjerumus dalam isu bankrap yang memberikan kesan kepada emosi dan kehidupan mereka,” katanya.
Tambah beliau, menerusi dasar peluang kedua, seramai 10,000 individu di Selangor telah diberikan pelepasan status bankrap bermula Oktober tahun lalu hingga Mac tahun ini. – KOSMO! ONLINE














