fbpx
SOON HUAT (kiri) dan Shevon ketika beraksi pada pusingan pertama Malaysia Masters hari ini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

Malaysia Masters: Soon Huat-Shevon idam kembali ke RTG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai sedia untuk merebut semula tempat mereka dalam program Road to Gold (RTG).

Gandingan No.12 dunia itu tidak tersenarai dalam RTG yang diumumkan penyelaras program tersebut, Datuk Stuart Ramalingam semalam selepas penilaian dilakukan jawatankuasa.

Shevon berkata, dia dan Soon Huat akan cuba untuk kembali semula ke dalam program tersebut, namun enggan terlalu mengejar kerana bimbang ia mampu memberi kesan terhadap prestasi.

“Sudah tentu kami akan cuba untuk bersaing (masuk ke RTG) dan ia bakal menjadi keutamaan. Sama ada dapat kembali ataupun tidak, itu kami serahkan kepada aksi di gelanggang.

“Kalau kami terlalu nak sangat benda itu, memang risau ia akan menjejaskan kami, terutamanya dari segi emosi dan psikologi,” katanya ketika ditemui di Unifi Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Hari ini, pasangan suami isteri itu meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters selepas menang 21-8, 21-16 ke atas Chen Zhi Yi-Francesca Corbett dari Amerika Syarikat.

Sementara itu, Shevon menyuarakan rasa terkilan kerana tidak tersenarai dalam RTG kali ini, namun menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

“Walaupun ada rasa sedih kerana tidak terpilih masuk ke RTG tetapi inilah perjalanan kami. Kami sudah buat yang terbaik dan hanya akan pandang ke depan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN