PETALING JAYA – Tindakan dua orang wanita berdiri di kawasan tempat letak kereta dipercayai untuk ‘cop parkir’ dikecam orang ramai.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dimuat naik di Threads oleh Dsarahmzlnn, dia mendedahkan gelagat dua wanita yang selamba berdiri di kawasan tempat letak kereta itu tanpa rasa bersalah.
Meskipun menyedari kehadiran kereta lain yang ingin masuk, mereka enggan beranjak, malah sempat menunjukkan isyarat tangan menghalau pemandu.
Bagaimanapun, pemandu wanita itu tetap bertegas dengan meneruskan niatnya masuk ke dalam petak parkir secara perlahan-lahan sehingga memaksa kedua-dua individu tersebut beralih dan beredar.
“Silap orang lah sis,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna berasa puas hati dan memuji ketegasan pemandu wanita itu yang disifatkan mempunyai ‘darah pahlawan’ kerana berani mempertahankan haknya.
“Saya suka darah pahlawan macam ni. Menyala sis, ujar Itsmehazzz_.
Dalam pada itu, pengguna turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan merakam wajah pelaku sekiranya berhadapan situasi sama bagi mengelakkan kejadian khianat seperti calar kereta.
“Letak kereta kita, wajib ambil gambar kereta dan siapa yang tercegat kat parking itu. Kalau apa jadi, senang buat report (aduan) muka dah ada,” jelas Mnaffendy pula. – KOSMO! ONLINE














