fbpx
GAMBAR HIASAN

Tarif air, cukupkah dengan berjimat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CERITA tentang kenaikan harga tiada siapa pun suka. Harga naik bermakna perlu berbelanja lebih. Rakyat memang alergik soal kenaikan harga.

Lihat sahaja harga bahan mentah antaranya bawang selain kekurangan beras tempatan yang menyaksikan pengguna tiada pilihan apabila terpaksa memilih beras import. Semua itu tentang kos.

Bermula sesi persekolahan, harga tambang bas menjadi rungutan. Sesetengah pengusaha mahu menaikkan tambang berikutan kos yang meningkat. Ini belum lagi segala hal berkaitan alat tulis dan buku.

Bermula 1 Februari, tarif air baharu bagi pengguna domestik yang menyaksikan kenaikan purata 22 sen setiap meter padu. Lapan hari lagi.

Tarif itu dijangka membabitkan kenaikan caj bil dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima sen hingga 27 sen bagi penggunaan isi rumah 20 meter padu sebulan.

Pelarasan itu membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Biarpun nampak kecil kenaikan seperti diuar-uarkan banyak pihak, namun tetap memberi impak bagi keluarga yang ramai.

Jangan samakan periuk nasi anda dengan rumah lain. Seisi rumah anda mungkin bekerja, namun orang lain mungkin hanya seorang yang mencari nafkah.

Kenaikan ini menekan kita menjadi pengguna yang berjimat. Jimat dalam segala segi termasuk melihat semula cara kita menggunakan air.

Bolehlah buang tabiat basuh kereta tiga kali seminggu, basuh baju setiap hari selain meminimumkan penggunaan air ketika membasuh pinggan. Asas, lagi banyak guna lagi banyak bil perlu dibayar.

Ada yang mengatakan, penggunaan air di Malaysia dikategorikan sebagai sangat tinggi dan sukar diubah kerana sudah menjadi tabiat masyarakat.

Ketika ini setiap operator air menawarkan rebat kepada pengguna terutama golongan tidak berkemampuan, sehubungan itu wajar bagi sesiapa yang menjadi pengguna bijak turut dimasukkan sebagai penerima rebat berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri melalui operator air perlu melihat atau memperbanyakkan rebat kepada golongan lain. Ketika ini M40 pun bukan semuanya senang. Jika tidak banyak seperti B40 tetapi tetap akan melegakan.

Jangan pula ada pihak yang menangguk di air keruh apabila harga makanan dan minuman dinaikkan, alasan mereka tarif air naik. Situasi ini jelas membimbangkang khususnya pada peniaga kecil dan peniaga tepi jalan yang operasi perniagaan di rumah.

Benar, anda salah seorang pengguna domestik tetapi bukan caranya melepaskan kos kepada pengguna domestik lain. Di sini penguat kuasa perlu memainkan peranan, sukar untuk dikenal pasti, namun pasti boleh ditangani.

Pengguna juga perlu jadi mata-mata sekiranya operator air culas dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti, asyik-asyik gangguan, paip bocor tidak diganti dengan sempurna selain kualiti air ‘berkarat’. Tarif sudah naik, peganglah pada janji anda.

Benarlah tahun 2024 adalah tahun berjimat. Sama ada lebih atau kurang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN