KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berdepan cabaran besar apabila lebih 60 peratus aset maritimnya kini telah berusia melebihi 40 tahun serta telah melepasi had perkhidmatan.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain berkata, walaupun kebanyakan kapal terbabit masih selamat untuk beroperasi, faktor usia menyebabkan aset berkenaan semakin sukar diselenggara selain meningkatkan risiko kerosakan ketika melaksanakan tugas.
“Lebih daripada 60 peratus aset kita berusia lebih 40 tahun. Maknanya semuanya sudah usang dan ini merupakan satu cabaran besar kepada TLDM ketika ini.
“Kapal-kapal ini masih perlu melaksanakan operasi di laut kerana kita mempunyai enam operasi yang memerlukan aset berada di laut 24 jam sehari sepanjang tahun,” katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang akhbar ketika hadir pada Majlis Ulang Tahun ke-53 Kapal Kombatan TLDM di sini hari ini.
Zulhelmy berkata, antara aset yang masih digunakan sehingga sekarang termasuklah KD Ganyang, KD Perdana, KD Serang, dan KD Ganas yang sebelum ini daripada Skuadron Kapal Penyerang Laju TLDM.
Bagaimanapun katanya, taraf perkhidmatan aset berkenaan kita telah diubah kepada kepada kelas kapal rondaan sahaja ketika ini.
Mengulas lanjut, Zulhelmy berkata, keadaan walaupun setiap kapal dipastikan berada dalam keadaan selamat untuk belayar (seaworthy), sebahagian besar aset berkenaan sebenarnya telah melepasi tempoh sesuai untuk digunakan dan wajar digantikan.
“Apabila aset menjadi usang, penyelenggaraan pembaikan (corrective maintenance) menjadi lebih banyak berbanding penyelenggaraan pencegahan (preventive maintenance).
“Kerosakan berlaku tanpa diduga kerana faktor usia selain alat ganti juga semakin sukar diperoleh kerana kebanyakan kapal itu tidak lagi digunakan oleh negara lain.
“Namun, apabila Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 mula diterima dalam masa terdekat, kita akan melaksanakan pelan ‘phase in, phase out’ bagi menggantikan kapal-kapal lama secara berperingkat,”katanya.-KOSMO! ONLINE














