TEXAS – Pengendali Portugal, Roberto Martinez mengumumkan peletakan jawatan selepas gagal membantu pasukan itu mara ke suku akhir Piala Dunia 2026 susulan kekalahan 0-1 kepada Sepanyol di Stadium Dallas awal pagi semalam.
Martinez berkata, kontraknya bersama Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) tamat sebaik sahaja perlawanan itu berakhir dan terpulang kepada pihak pengurusan untuk melantik pengendali baharu.
“Saya datang ke Portugal dengan satu matlamat, iaitu untuk menjulang Piala Dunia. Jika gagal mencapai sasaran yang diberikan, saya rasa tidak ada sebab untuk saya terus kekal di sini.
“Lembaga pengarah FPF dan presiden mempunyai peluang untuk memilih jurulatih baharu. Kontrak saya tamat hari ini (semalam) dan tidak banyak lagi yang boleh diperkatakan,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Martinez turut memberikan penghormatan kepada kapten pasukan, Cristiano Ronaldo yang memberi bayangan untuk ‘gantung but’ di peringkat antarabangsa selepas kejohanan kali ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menjadi kapten dan contoh kepada semua pemain.
“Bukan sekadar gol peribadi, dia juga banyak membuka ruang dan lakukan hantaran kepada pemain lain melakukan jaringan,” ujarnya.
Sementara itu, pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes mengakui, kegagalan pasukan untuk mengekalkan rentak cemerlang di separuh masa kedua membuka ruang buat Sepanyol mendapatkan jaringan pada penghujung saingan.
“Sudah tentu kami kecewa. Kami datang ke sini dengan satu sasaran, iaitu menjuarai Piala Dunia. Malangnya kami tidak berada pada tahap terbaik sehingga dibolosi pada saat akhir,” katanya. – AGENSI














