IPOH – Bidang penjagaan warga emas kini muncul sebagai kerjaya yang mampu menjana pendapatan lumayan apabila ada peserta latihan di bawah inisiatif Santunan Kasih berjaya memperoleh antara RM7,000 sehingga RM15,000 sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pencapaian itu membuktikan bidang berkenaan mempunyai potensi besar sebagai kerjaya profesional, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi peserta.
“Setakat ini, kita beri sijil tamat latihan sahaja. Belum ada akreditasi yang betul sebab tiada satu badan yang boleh mengiktiraf termasuk peringkat persekutuan.
“Tapi dengan sijil itu, kita melihat mereka dapat menawarkan perkhidmatan dengan bayaran yang saya pun sebenarnya agak terkejut apabila ada peserta mendapat pendapatan bulanan RM7,000 hingga RM15,000,” katanya pada Majlis Makan Malam Santunan Kasih 2026 di sini, malam tadi.
Beliau berkata, sehingga kini seramai 356 individu telah dilatih menerusi Program TVET Kursus Kaigo Lite: The Essence of Caregiving dan Kursus Penjagaan Warga Emas Pensijilan Profesional yang dilaksanakan sejak 2023.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, kerajaan negeri sedang memperhalusi usaha mengekalkan tenaga kerja terlatih di Perak memandangkan ramai memilih berkhidmat di negeri lain walaupun permintaan terhadap penjaga warga emas di negeri itu semakin tinggi. – KOSMO! ONLINE














