fbpx
Abby sekali lagi membuka kisah silam rumah tangga mereka dengan mendakwa pernah melalui detik yang hampir meragut nyawanya.

‘Saya ni nasib baik tak mati, macam-macam kena dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pihak ketiga masuk campur urusan pelakon Abby Abadi dengan bekas suaminya, Norman Hakim, aktres itu sekali lagi membuka kisah silam rumah tangga mereka dengan mendakwa pernah melalui detik yang hampir meragut nyawanya.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, berkata, selama ini dia memilih untuk berdiam diri mengenai pelbagai kepayahan yang dilalui ketika bergelar isteri disebabkan enggan membebankan keluarga bekas suaminya.

“Saya ini nasib baik tidak mati sahaja, macam-macam kena dulu. Bawa pergi klinik cakap kemalangan, padahal lain ceritanya.

“Tak pernah pun cerita dekat keluarga awak (pihak ketiga) sebab tidak mahu menyusahkan, tapi sekarang tiba-tiba menyibuk pula,” katanya menerusi platform Threads.

Dalam hantaran tersebut dia turut memuat naik paparan tangkap layar ciri individu yang disifatkan mempunyai sifat bodoh.

Abby berkata demikian bagi membalas kenyataan seorang wanita yang mendakwa sebagai anak saudara kepada Norman selepas mempertikaikan dakwaannya menyambut kelahiran anak di dalam kereta.

Menurut ibu enam anak itu lagi, kenyataannya sebelum ini disalah tafsir kerana dia tidak pernah mendakwa bersendirian ketika kejadian tersebut, sebaliknya Norman memandu kenderaan manakala dia yang menahan kesakitan sehingga bayi mereka dilahirkan.

“Sekarang isunya apa? Sibuk nak burukkan saya sebab saya cakap saya yang sambut anak dalam kereta. Cuba baca semula bagi faham pakai otak. Bila masanya saya cakap saya seorang diri masa kejadian?

“Pak cik awak yang bawa kereta, tapi saya duduk sebelah, teran dan akhirnya bayi itu keluar sendiri.

“Ada sahaja gambar atas kerusi sebelah pemandu sampai klinik, macam itulah juga kedudukannya,” ujarnya.

Dalam hantaran sama, Abby turut mendakwa pernah berniaga bagi menampung perbelanjaan keluarga termasuk makan minum, tempat tinggal keluarga sepanjang mereka masih hidup sebagai suami isteri.

“Tak perlu nak tuduh saya dengki dengan pak cik awak. Saya tidak hairan pun.

“Tak kaya pun tidak mengapa, janji saya tidak minta sedekah dekat keluarga awak. Jangan melebih, awak tidak tahu apa-apa, lebih baik diam,” katanya.

Kemelut antara Abby dan Norman tercetus kembali selepas bekas anggota Elite itu tidak kelihatan dalam majlis sambutan hari jadi anak mereka,  Marissa sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN