fbpx
Dzulkefly ketika sesi MQT di Dewan Rakyat hari ini.- FOTO JAPEN

Sekatan RM500 juta tidak jejas perkhidmatan kesihatan – Dr. Dzulkefly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Waran sekatan peruntukan mengurus sebanyak RM500 juta yang dikenakan terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menjejaskan operasi mahupun penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelarasan itu hanyalah langkah teknikal membabitkan lebihan peruntukan bagi perjawatan yang tidak dapat diisi, sekali gus membolehkan kerajaan menjimatkan RM500 juta tanpa menjejaskan operasi kementerian.

“Waran sekatan ini sebenarnya merupakan pelarasan teknikal terhadap lebihan peruntukan dan tidak melibatkan 18,641 perjawatan yang telah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada KKM tahun ini.

“Kalaupun kita menawarkan lebih daripada 18,641 jawatan itu, orangnya tidak ada. Jadi di situlah kita dapat menjimatkan RM500 juta daripada peruntukan asal yang disediakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) dan soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung kebimbangan pelarasan fiskal kerajaan terhadap penyampaian perkhidmatan serta pembangunan fasiliti kesihatan awam.

Menurut Dzulkefly, waran sekatan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada 5 Jun lalu itu berjumlah RM500 juta atau kira-kira 1.07 peratus daripada keseluruhan peruntukan KKM sebanyak hampir RM46.52 bilion bagi tahun ini.

Katanya, pelarasan tersebut tidak melibatkan peruntukan operasi, pembangunan, elaun petugas, program latihan mahupun pembelian aset perubatan, sebaliknya dibuat melalui penyusunan semula perbelanjaan secara lebih berhemat.

“Dakwaan bahawa pelarasan ini akan menjejaskan perkhidmatan hospital, khususnya di luar bandar, adalah tidak tepat kerana semua perkhidmatan asas dan projek pembangunan kesihatan diteruskan seperti dirancang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKM menerusi Jawatankuasa Bersama Kos Kesihatan Swasta akan memperkenalkan pelan perlindungan kesihatan asas atau Base Medical and Health Insurance/Takaful (MHIT) di beberapa hospital bulan ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada Januari 2027.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan sistem pembayaran berasaskan Diagnosis Related Groups (DRG) sebagai penanda aras bagi menyeragamkan sistem pembayaran dan pengurusan caj hospital melibatkan hospital awam, swasta, universiti serta hospital tentera.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN