fbpx
Orang ramai mengunjungi restoran Mastan Ghani yang menjadi lokasi tumpuan di Teluk Intan.

Mi rebus Teluk Intan legasi sejak 1950-an

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Meneruskan satu legasi yang boleh dianggap sebagai ‘legenda’ pada usia muda bukanlah mudah untuk dilakukan apatah lagi jika apa yang diusahakan sekian lama itu sudah menjadi suatu yang sinonim dengan suatu tempat.

Mi rebus Mastan Ghani memang sangat terkenal bagi orang Perak dan sinonim dengan bandar Teluk Intan, Perak.

Usia muda nyata tidak menghalang Mohammad Khairuddin Anuardin, 23, iaitu pewaris generasi keempat restoran mi rebus Mastan Ghani untuk menyahut cabaran itu.

Dia diberi amanah meneruskan bisnes itu pada 2021 apabila ibunya, Khairiyah Mohd. Sultan, 57, pewaris generasi ketiga Mastan Ghani berpandangan sudah tiba masanya anak sulung dari dua beradik itu memainkan peranan berkenaan.

Menurut Mohammad Khairuddin, biarpun berasa gementar, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mendepani cabaran berkenaan kerana rasa cinta terhadap bidang makanan dan minuman telah disemai dalam dirinya sejak kecil.

“Apabila kita membesar dalam keluarga yang menceburi bidang makanan dan minuman, sedikit sebanyak rasa cinta terhadap bidang ini akan ada dalam diri.

“Restoran yang mula dibuka sekitar 1950 ini merupakan tempat saya bermain dan membesar, jadi dari kecil lagi saya sudah melihat sendiri bagaimana datuk dan ibu uruskan perniagaan mi rebus ini,” katanya kepada Panorama.

Menurutnya, perniagaan Mastan Ghani bermula apabila moyangnya, Mastan Ghani Naina Mohd. berhijrah ke Teluk Intan sekitar tahun 1930-an untuk memulakan hidup baharu di bandar itu.

Mohammad Khairuddin memberitahu, moyangnya itu mula berniaga secara kandar sebelum menggunakan beca dengan menjual mi rebus dan rojak di sekitar bandar ini bermula tahun 1940-an sehingga membuka kedai makan fizikal di Jalan Selat, Teluk Intan pada 1950-an.

“Allahyarham kemudian menurunkan perniagaan ini kepada anaknya, Mohd. Sultan, seterusnya mewariskan kepada ibu saya dan terkini (pewaris) ialah saya sendiri.

“Jadi, keputusan untuk mengambil tanggungjawab ini bukanlah mudah kerana reputasi restoran Mastan Ghani perlu dijaga,” katanya yang memiliki sijil dalam bidang seni bina dari Kolej Antarabangsa Kompas.

Mengulas lanjut, katanya, pada waktu ini, dia sedang mendalami selok-belok dunia perniagaan dengan ibunya memainkan peranan sebagai pembimbing.

Menurutnya, dia akan berada di restoran seawal pukul 6.30 pagi bagi membantu persiapan perniagaan sebelum bermulanya waktu beroperasi iaitu pada pukul 8.30 pagi sehinggalah ditutup 5.30 petang.

Jika tiba waktu perayaan, ada pelanggan yang datang pada awal pagi di restoran ini yang mana rata-rata mereka golongan pelancong.

Mohammad Khairuddin berkata, pada waktu puncak terutamanya Sabtu dan Ahad, mereka menjual sehingga 600 pinggan mi rebus sehari.

Dia juga berkata, restoran itu juga telah dibesarkan ruang makannya yang mana kini boleh menempatkan sehingga 80 orang pelanggan pada satu-satu masa berbanding sebelum Disember lalu iaitu antara 30 hingga 40 orang pelanggan.

Kepelbagaian makanan daripada pengaruh pelbagai budaya menjadi antara keistimewaan negeri Perak.

“Bagi membantu melicinkan proses perniagaan, bapa saya, Anuardin Noor Mohamad, 55, dan adik, Nasruddin, 18, turut membantu dari semasa ke semasa jika mereka berkelapangan di restoran ini.

“Ibu turut sama membantu terutamanya dalam memantau perjalanan operasi perniagaan yang mana ia telah menjadi rutin baginya sejak dia terlibat dengan restoran ini ketika usianya 10 tahun lagi,” katanya.

Menurut Mohammad Khairuddin, Mastan Ghani mempunyai beberapa cawangan di Teluk Intan dan satu di Ipoh yang mana ia diuruskan oleh saudara-maranya.

Sementara itu, seorang pekerja yang telah berkhidmat lama di restoran tersebut iaitu sejak 1976, Ibnu Shuoohu Sahul Hamid, 68, atau Skut memberitahu, dia mula bekerja di situ pada zaman Mohd. Sultan selaku pewaris kedua Mastan Ghani dan terus berkhidmat sehingga ke hari ini.

“Sejak dari zaman tersebut sehinggalah ke hari ini, semua telah saya lakukan daripada membasuh pinggan mangkuk di dapur sehinggalah penyediaan mi rebus di bahagian hadapan restoran.

“Langsung tidak terlintas di fikiran untuk meninggalkan Mastan Ghani kerana mereka telah saya anggap sebagai ahli keluarga. Semua saya kenal dari zaman Mohd. Sultan, anaknya dan kini cucunya yang mewarisi perniagaan ini,” ujarnya.

Restoran tersebut menjadi tumpuan ramai di Teluk Intan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat bahkan juga masyarakat luar. Ramai penduduk sekitar bandar itu dikatakan akan ‘kembali’ ke restoran Mastan Ghani walaupun sudah menetap di tempat lain kerana kekuatan ‘populariti dan kenangan’.

Seorang pelanggan Mastan Ghani, Fauzi Awang, 54, berkata, dia yang berasal dari Seberang Perak sering mengunjungi restoran tersebut apabila pulang ke kampung halaman.

Ujar Fauzi yang kini menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor, dia juga dari semasa ke semasa membawa saudara-mara seperti besan dan menantu untuk menikmati hidangan di restoran berkenaan.

“Boleh dikatakan hampir setiap tahun saya mengunjungi restoran ini bagi menjamah mi rebus serta rojak di Mastan Ghani. Ia mempunyai tempat di hati kerana saya telah mengunjunginya sejak muda sebelum berpindah ke negeri lain,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Mastan Ghani memaklumkan mulai bulan lalu, mereka telah memecah ‘tradisi tidak menjual minuman panas’ apabila kini sesetengah cawangannya (selain cawangan dikendalikan Khairudin) mula menawarkan minuman panas seperti milo, kopi dan teh panas.

Sebelum ini, hanya minuman seperti ABC, ais jagung, ais bandung, ais laici serta sirap limau merupakan antara minuman yang ditawarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN