fbpx

Mudah dihasut jika tiada ilmu – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri pada Dialog Mahasiswa Temu Anwar di UPSI hari ini.

TANJUNG MALIM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kejahilan atau kedangkalan ilmu memungkinkan sesorang dihasut dengan mudah oleh orang lain tanpa banyak soal dan seterusnya menyebabkan mereka terperangkap dalam pemikiran jumud.

Menurut beliau, demi menambah ilmu pengetahuan, generasi muda harus menyemai sikap membaca bagi menguasai dan mengetahui perkembangan terkini.

“(Apabila) ilmu kita sedikit, kemudian orang kata kalau tidak buat ini masuk neraka. Kalau tidak sokong ini masuk neraka. Kerana ilmu kita terlalu dangkal. Mahu berhujah tidak bisa, mahu menyoal tambah tidak berani akhirnya terperangkap dengan pemikiran kolot dan jumud, menghukum semberono.

“Sebab itu mahu maju, mahu negara ini negara madani, (kena) tingkatkan ilmu, kuasai ilmu,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Buku Negara 2023 dan Dialog Mahasiswa Temu Anwar yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar melahirkan kebimbangan terhadap generasi masa kini mudah terpukau dengan idea secara ringkas dan tidak lengkap dalam media sosial sedangkan sesuatu perkara seperti ekonomi, dasar-dasar negara, idealisme perjuangan perlu dikupas secara mendalam dan memerlukan banyak pandangan.

Selain itu, Perdana Menteri menegaskan beliau bersetuju terhadap kebebasan akademik termasuk memberi ruang untuk menegur dan mengkritik kerajaan, namun menolak sekiranya kelebihan itu terbiar sehingga memecahbelahkan masyarakat.

“Apa yang saya bimbang hanya satu aspek, (ialah) penularan dan ketaksuban yang menggila. Maknanya cerita soal kaum, (kononnya) orang Melayu akan habis, Pulau Pinang sudah dikristiankan dan Anwar ini menggadai dan mengkhianati orang Melayu.

“Hal-hal ini yang harus kita kawal. Kalau hendak tanya cara baik tidak mengapa, tetapi kalau terikut dengan cara beberapa orang politik yang terdesak, kita yang rugi. Kena jaga supaya jangan jadi walaun, (sehingga) tidak boleh berfikir langsung, apa yang disebut itu dianggap sebagai hukum. Tidak betul,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa risau terhadap ketaksuban dalam kalangan golongan muda termasuk mahasiswa.

“Kita tidak boleh izinkan. Saya minta Naib Canselor, pihak universiti kawal. Kawal bukan kerana saya takut dengan fahaman politik mereka. Jumlah mereka kecil. Kawal untuk menyelamatkan negara ini. Kawal kerana faham ketaksuban ini akan memecahbelahkan rakyat,” katanya.

Anwar dalam majlis sama meluluskan peruntukan RM250,000 untuk Yayasan Pembangunan Buku Negara serta mengumumkan kelulusan RM25 juta bagi menambah baik kapasiti kolej kediaman di UPSI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI