PETALING JAYA – Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu bergerak ke arah konsep Universiti Generasi 5.0 yang bukan sahaja menumpukan kepada pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, malah memberi penekanan terhadap kesejahteraan masyarakat menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), kerjasama strategik serta pembelajaran sepanjang hayat.
Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersilan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Ts. Dr. Shamsul Arrieya Ariffin berkata, Universiti Generasi 5.0 menggalakkan perubahan positif melalui perkongsian quintuple-helix, integrasi sosial yang dipacu AI, pembelajaran sepanjang hayat serta keusahawanan dan kebolehpasaran pekerjaan.
Menurut beliau, pendekatan itu melihat AI sebagai pelengkap dan bukannya menggantikan tenaga kerja manusia.
“UPSI juga akan melaksanakan makmal pendidikan AI pertama di Asia Tenggara menerusi kerjasama dengan syarikat Honor yang akan dibuka bukan sahaja kepada pelajar dan kakitangan, malah komuniti bagi memberi latihan dalam subjek teknologi pendidikan masa depan selari dengan Universiti Generasi 5.0,” katanya.
Beliau berkata, Universiti Generasi Kelima memberi penekanan kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat dengan mengutamakan impak sosial berbanding kedudukan dan penerbitan akademik.
Katanya, kejayaan universiti dalam model itu dinilai berdasarkan sumbangannya kepada manusia dan komuniti, sekali gus memerlukan kerjasama yang lebih mendalam di luar kampus.
“Konsep quintuple-helix memperluaskan kerjasama antara universiti, industri dan kerajaan dengan turut melibatkan masyarakat sivil serta alam sekitar.
“Dalam Universiti Generasi 5.0, ahli akademik, industri, penggubal dasar, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membentuk lima heliks bagi mencipta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata, Profesor Henk Poppema mentakrifkan pendekatan itu sebagai usaha membina jambatan dengan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan dengan masyarakat untuk memberi impak positif kepada komuniti tempatan.
Tambahnya, Rangka Kerja Kecemerlangan Penyelidikan (REF) yang diperkenalkan di United Kingdom pada 2014 turut menggalakkan universiti bekerjasama dengan masyarakat melalui penilaian impak penyelidikan terhadap ekonomi, masyarakat, budaya, dasar, perkhidmatan awam, kesihatan, alam sekitar dan kualiti hidup.
Menurut beliau, China turut melaksanakan dasar inovasi yang memerlukan universiti bekerjasama dengan industri dan kerajaan wilayah.
“Antara contohnya ialah sekolah AI di Universiti Sains dan Teknologi Changsha yang menggabungkan beberapa jabatan bagi memenuhi keperluan industri tempatan serta menyelaraskan penyelidikan dan pembangunan bakat dengan sektor strategik wilayah Hunan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga sedang mengorak langkah ke arah konsep berkenaan menerusi pelbagai inisiatif.
Katanya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Inisiatif Penyelidikan Pencegahan Bencana Asia Tenggara telah menubuhkan Platform Pelbagai Bahaya Kuala Lumpur dengan kerjasama pegawai bandar bagi memetakan dan mengurus risiko bencana bandar untuk meningkatkan daya tahan masyarakat.
“Penyelidik UKM turut bekerjasama dengan agensi kerajaan dan komuniti setempat bagi memastikan platform tersebut memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan.
“Universiti Sunway pula menerusi Program Kejiranan Desa Mentari menggabungkan penglibatan akademik bersama pelajar dan komuniti berpendapatan rendah bagi menangani cabaran pendidikan serta kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, teknologi AI menjadi antara pemacu utama dalam menjayakan Universiti Generasi 5.0 menerusi pendekatan AI prososial yang memberi manfaat kepada manusia.
Katanya, universiti di seluruh dunia kini menggunakan AI dalam penyelidikan, pengajaran dan pentadbiran, manakala lebih 600 universiti di China menawarkan program ijazah berkaitan AI serta bekerjasama dengan syarikat teknologi.
“Institut AI Berpusatkan Manusia Universiti Stanford pula menekankan bahawa penyelidikan, pendidikan, dasar dan amalan AI perlu diterajui oleh nilai serta etika manusia.
“UNESCO juga mengingatkan bahawa AI perlu kekal sebagai alat dan bukannya nadi sistem pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, guru dan bimbingan manusia kekal sebagai teras pendidikan, manakala AI hanya berperanan meningkatkan kecerdasan manusia.
“Walaupun AI mampu memperibadikan pembelajaran dan membantu pendidik menyesuaikan sokongan kepada pelajar, penggunaannya perlu disertai latihan etika bagi mengelakkan kemerosotan kemahiran, kehilangan autonomi dan penyeragaman pembelajaran akibat algoritma yang tidak terkawal.
“AI berteras prososial perlu mengutamakan ekuiti, kepelbagaian budaya dan kesejahteraan,” katanya.
Menurut beliau, Pelan Hala Tuju AI Nasional 2021-2025 turut memberi penekanan kepada tadbir urus dan pendidikan AI secara inklusif, manakala penubuhan makmal pendidikan AI pertama Asia Tenggara di UPSI akan dimanfaatkan bagi melatih pendidik, memperkukuh penyelidikan dan memperkasakan komuniti secara bertanggungjawab.
Katanya, pembangunan AI dalam pendidikan memerlukan infrastruktur fizikal dan modal insan yang kukuh termasuk kemudahan digital, capaian internet serta latihan kepakaran bagi memastikan AI dimanfaatkan secara beretika dan berkesan.
Beliau berkata, Universiti Generasi Kelima turut menolak konsep pendidikan yang terhad kepada tempoh tiga atau empat tahun, sebaliknya mengutamakan pembelajaran sepanjang hayat.
“Singapura melaksanakan agenda itu menerusi SkillsFuture, manakala National University of Singapore (NUS) menawarkan kursus pendek, kelayakan mikro dan peluang pembelajaran semula kepada alumni.
“Pada masa sama, Universiti Generasi Kelima memberi penekanan kepada keusahawanan dan kebolehpasaran graduan supaya mereka bukan sekadar menjadi pencari pekerjaan, malah pencipta nilai dan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, ekosistem inovasi di Stanford, Massachusetts Institute of Technology (MIT), Singapura dan China membuktikan pendekatan yang menggabungkan bimbingan, inkubator serta sokongan pembiayaan mampu memperkukuh pembangunan usahawan.
Namun, katanya, universiti masih memerlukan sokongan berstruktur termasuk kurikulum berasaskan pengalaman, penglibatan pakar industri, ekosistem inkubasi mampan serta budaya yang menerima kegagalan sebagai proses pembelajaran.
“Malaysia mempunyai asas kukuh melalui populasi muda dan pelbagai inisiatif kreatif, namun kejayaan Universiti Generasi 5.0 bergantung kepada keupayaan menangani jurang infrastruktur, tadbir urus, pembiayaan dan bakat akademik.
“Tanpa matlamat yang jelas dan boleh diukur, pendekatan ini berisiko menjadi retorik. Sokongan kerajaan, tadbir urus beretika dan keupayaan universiti berubah secara pantas amat penting bagi memastikan pendidikan tinggi terus berteraskan manusia dan memberi manfaat sebenar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, Universiti Generasi 5.0 mentakrifkan semula kampus sebagai pemacu perubahan, pencipta penyelesaian dan penghubung masyarakat selari dengan aspirasi Malaysia sebagai negara inklusif dan berteknologi maju.
“Kepercayaan masyarakat terhadap universiti akhirnya bergantung kepada keupayaannya melahirkan graduan yang beretika, beradab dan berakhlak selari dengan Dasar MADANI serta berkemahiran dalam teknologi pendidikan seperti AI, di samping menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Tegasnya, Universiti Generasi 5.0 memastikan pendidikan terus menyumbang kepada perubahan positif dengan manusia sebagai teras dan AI sebagai pelengkap,” katanya. – KOSMO! ONLINE














