PETALING JAYA – Usaha mengesan bahan bukti pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin pada hari keenam menjurus kepada membawa keluar air takungan di lokasi mayat mangsa ditemui.
Tinjauan Kosmo! berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini mendapati beberapa kenderaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai dari Kontinjen Selangor tiba di lokasi kira-kira pukul 11.45 pagi.
Difahamkan, kehadiran mereka ke lokasi bagi meneruskan siasatan bagi mencari bukti dan petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan kes itu.
Mereka dikatakan akan membantu polis menyedut keluar air di kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui pada 6 Disember lalu.
Bagaimanapun, keadaan cuaca di lokasi kejadian dilihat hujan lebat sedikit sebanyak menganggu usaha tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Justeru itu, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana ada unsur jenayah.
Pada 6 Disember, Kosmo! melaporkan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan mengiring di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada pukul 10 malam.-KOSMO! ONLINE.