fbpx

Vincent Tan dapat injunksi inter-parte terhadap Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi dan Vincent Tan.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad untuk mendapatkan injunksi inter-parte (secara dua belah pihak) terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Perkara itu disahkan peguam Mohd. Faizi Che Abu yang mewakili Muhammad Sanusi dan Chuar Kia Ling bagi pihak Vincent Tan dan Berjaya Land ketika dihubungi yang mana perintah injunksi itu diberikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Choong Yeow Choy.

Injunksi itu menghalang Muhammad Sanusi daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Vincent Tan dan Berjaya Land, sehingga saman fitnah difailkan kedua-dua plaintif diputuskan mahkamah.

Ia adalah saman kenyataan Muhammad Sanusi berhubung mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) dalam ucapannya pada ceramah sempena kempen pilihan raya ‘Jelajah Mega PN Best’ atau ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera mega tour’ di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.

Sementara itu, Mohd. Faizi turut memaklumkan, mahkamah belum menetapkan tarikh perbicaraan kes saman berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Vincent Tan berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain membawa maksud beliau dan syarikat terbabit adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud mereka memberikan manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri sebagai balasan kepada tanah percuma itu.

Selain itu, kata plaintif ia juga bermaksud mereka menyebabkan kerajaan negeri Selangor mengalami kerugian dan membelanjakan sekurang-kurangnya RM180 juta susulan tanah yang didakwa diberikan secara percuma.

Plaintif mendakwa, ia juga bermaksud mereka dengan syarikat berkaitan mempunyai jumlah hasil pendapatan gabungan sebanyak RM33.3 bilion.

Vincent Tan dan Berjaya Land berkata, kenyataan fitnah itu akan merosakkan dan menyebabkan kerugian kewangan terhadap 67,367 pemegang saham dalam BCorp dan 7,053 pemegang saham dalam Berjaya Land.

“Projek SMG membabitkan sebuah syarikat bertujuan khas, iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd. (LLBSB) menerusi usaha sama dengan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI).

“LLBSB bukan sahaja perlu membayar premium tanah bernilai RM113.1 juta bagi lot tanah itu tetapi juga mencari dana untuk membayar premium kepada kerajaan negeri Selangor,” kata plaintif.

Sehubungan itu Vincent dan Berjaya Land menuntut daripada Muhammad Sanusi, antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI