fbpx

P Tech Resources didenda RM320,000 sebabkan pencemaran Sungai Kim Kim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Syarikat P Tech Resources Sdn Bhd (P Texh Resources) didenda RM320,000 atas kesalahan menyebabkan kejadian pencemaran pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim pada tahun 2019.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Lattif Wan Jaafar berkata, perkara berkenaan diputuskan pada 30 November lalu, setelah mendengar pengakuan bersalah dan meneliti fakta kes dan dokumen kes.

Katanya, Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 4, Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM40,000 bagi setiap pertuduhan ke atas P Tech Resources.

“Kes ini dibicarakan bersekali dengan lapan kes kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 2014 ke atas Syarikat P Tech Resources.

“Di mana syarikat telah mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan yang melibatkan, Peraturan 5(1)(b), Peraturan 5(1)(c), Peraturan 7(3), Peraturan 7(4), Peraturan 9(a), Peraturan 9(b), Peraturan 10(1) dan Peraturan 16(1),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mahkamah turut menjatuhkan denda maksimum terhadap pemandu lori syarikat berkenaan N. Maridass berjumlah RM100,000 kerana menyebabkan pencemaran di sungai berkenaan.

“Hasil siasatan, tertuduh didapati telah melepaskan buangan terjadual di bawah Kod SW311 iaitu enap cemar berminyak, seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam Sungai Kim Kim.

“(Ia dilakukan) dengan menggunakan lori dan semi treller, yang tidak dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 1996).

“Seramai 38 orang saksi telah dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung kes pencemaran ini. Maridass telah membuat pengakuan bersalah ke atas pertuduhan dibawah Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 1996),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI