fbpx
Jaafa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital semalam.

Buaya Sungai Linggi jarang sekali ganggu penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Seorang lelaki bertarung nyawa selepas diseret seekor buaya tembaga dipercayai bersaiz besar ke dalam Sungai Linggi ketika menjala udang seorang diri di Kampung Tanjung Agas, di sini, awal pagi semalam.

Buaya Sungai Linggi dikatakan jarang sekali mengganggu penduduk, namun minggu lalu, seorang individu luar cedera di­serang reptilia itu, namun kes tersebut tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi semalam itu, seekor buaya tiba-tiba menerkam kaki kiri mang­sa yang berusia 62 tahun ketika berada di tepi Sungai Linggi.

Menurutnya, buaya itu kemu­dian menyeretnya ke dalam su­ngai, namun mangsa berjaya me­nyelamatkan diri selepas berpaut pada sebuah batu besar.

“Mangsa kemudian berjaya naik ke tebing dan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarganya sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Mangsa mengalami pelbagai kecederaan termasuk patah jari kaki kiri, patah buku lali kiri serta beberapa luka pada kedua-dua belah kaki. Mangsa dijadual menjalani pembedahan,” katanya kepada pemberita semalam.

Katanya, kes dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

DI lokasi inilah Jaafa diserang buaya ketika sedang menjala udang di Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas, Port Dickson awal pagi semalam.

Sementara itu, anak angkat mangsa, Nursyuhadah Jamaludin, 25, berkata, seekor buaya bersaiz besar pernah dirakam penduduk seminggu sebelum bapa angkatnya, Jaafa Hasan, 62, diserang buaya semalam.

Katanya, gambar buaya itu dilihatnya melalui perkongsian penduduk yang mendakwa kemungkinan buaya yang sama mencederakan mangsa.

“Selepas bergelut dengan buaya dan berjaya melepaskan diri, ayah dalam keadaan berdarah pergi ke rumah abang saudara, kira-kira 500 meter dari lokasi untuk meminta bantuan.

“Saya lihat ayah kini trauma dan menanggung kesakitan. Ikutkan kata orang buaya itu sepanjang lima meter dan sebelum ini memang biasa pun nampak buaya di sungai,” katanya.

NURSYUHADAH ditemani Mohd Faizal (kiri) menunjukkan gambar terkini bapanya ketika ditemui pemberita di Hospital Port Dickson, semalam. – NOR AINNA HAMZAH

Menurutnya, Jaafa sering menjala udang di sungai bermula maghrib dan pulang pukul 11 malam kerana mangsa menjual udang kepada pemancing.

“Jadi setiap hari ayah akan keluar cari udang dan menjala sekitar pukul 4 hingga subuh,” kata­nya di Hospital Port Dickson, di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan cerita suaminya, dua minggu sebelum ini, penduduk ada bercerita terdapat seorang lelaki yang sedang memancing turut cedera digigit buaya, namun hanya mendapatkan rawatan luar.

“Ada juga khabar sebelum ini, buaya itu terganggu sebab anak-anaknya hilang dan sedang mencari anaknya,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli berkata, pada 2023, seorang wanita juga pernah cedera digigit buaya di Sungai Timun, Rembau.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, kejadian itu disebabkan buaya itu telah diganggu dan kes terbaharu ini juga dipercayai daripada punca yang sama.

“Ikut cerita orang kampung, kita percaya buaya ini telah diganggu dan marah marah. Nasib tidak baik, Jaafa yang terkena kerana mangsa selalu menjala udang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN