fbpx
Fahmi dan Dzulkefly ketika mempengerusikan sesi persidangan meja bulat bersama pengamal media mengenai Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Rakaman dashcam kemalangan maut perlu dikawal – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan takrif kemudaratan dalam talian bagi merangkumi penyebaran kandungan grafik dan mengerikan termasuk rakaman kemalangan yang melibatkan kematian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sedang diperhalusi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan kebimbangan terhadap kesan penyebaran kandungan mengerikan kepada mangsa serta ahli keluarga mereka.

Menurut beliau, rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan detik kemalangan sering tular di media sosial tanpa mengambil kira sensitiviti keluarga mangsa dan kepentingan siasatan yang sedang dijalankan.

“Ramai beranggapan privasi mangsa dan keluarga mereka perlu dihormati. Selain itu, terdapat juga aspek siasatan yang perlu diberi perhatian. 

“Bayangkan perasaan keluarga apabila melihat rakaman sedemikian tanpa sebarang tapisan,” katanya selepas Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Sesi Latihan Interaktif: Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerjasama lebih erat perlu diwujudkan antara pihak berkuasa dan platform media sosial bagi memastikan kandungan sedemikian dapat diturunkan segera untuk mengurangkan penyebarannya.

Beliau berkata, platform digital seharusnya mengambil tindakan lebih proaktif terhadap kandungan yang boleh menimbulkan trauma kepada keluarga mangsa dan orang awam.

Katanya, perkara itu turut dibangkitkan susulan penularan rakaman dashcam membabitkan kemalangan yang meragut nyawa enam sekeluarga di Kedah baru-baru ini.

“Bayangkan keluarga mangsa melihat video itu tanpa tapisan. Sebab itu kita mahu platform-platform sendiri mengambil tindakan yang bersesuaian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian dapat mempertimbangkan perkara berkenaan serta mengadakan libat urus dengan wakil platform digital.

“Ia bagi membincangkan langkah yang lebih berkesan untuk menangani penyebaran kandungan grafik dan sensitif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN