fbpx

UKM anugerah PhD buat warga emas berusia 79 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Berkat usaha gigihnya, Muharam kini berjaya mencapai cita-citanya untuk dianugerahkan PhD bersempena Konvokesyen UKM di Bangi semalam.

BANGI – Seorang warga emas yang menghadapi masalah mata kabur ekoran katarak terpaksa meminta bantuan anak-anak untuk menyiapkan tesis kajian beliau. Cabaran ini, walau bagaimanapun, langsung tidak melemahkan semangat Dr. Muharam Awang, 79, untuk memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Atas halangan tersebut, pesara guru ini juga terpaksa meminta anaknya yang tinggal di Batu Pahat, Johor untuk menaip tesis bagi kajian yang dilaksanakan selepas mendapat tunjuk ajar dan sokongan daripada penyelianya, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Dr. Zubir Idris.

Bapa kepada tujuh anak dan 17 cucu itu berkata, cabaran dilaluinya itu tidak sesekali mematahkan semangatnya biarpun warga emas itu mengambil masa yang agak lama untuk menyempurnakan pengajian PhD, bermula 2015 hingga 2023.

“Sewaktu mahu menyiapkan tesis, mata saya kabur dan saya tidak dapat membaca. Ketika itulah saya terpaksa meminta bantuan anak-anak untuk menaip semula tesis kajian saya.

“Pada Mei lalu, saya menjalani pembedahan katarak dan Alhamdulillah, pandangan pulih dan saya berjaya menyiapkan tesis tersebut,” katanya kepada Kosmo! pada Sidang 9 Majlis Konvokesyen UKM ke-51 di sini semalam.

Muharam (enam dari kiri) diraikan oleh isteri dan ahli keluarganya selepas menerima skrol PhD pada majlis Konvokesyen UKM ke-51 di Bangi semalam.

Terdahulu, Muharam menerima skrol PhD Kesusasteraan Melayu disampaikan oleh Pro-Canselor UKM, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Ditanya mengenai faktor utama beliau mahu melanjutkan pengajiannya ke peringkat PhD, Muharam berkata, sebelum ini beliau pernah berasa rendah diri sewaktu masih di profesion perguruan dan mahu menjadikan ini satu kepuasan yang cukup bermakna buat dirinya.

“Dulu saya mengajar di sekolah rendah dan pada waktu itu sangat berbeza kerana guru sekolah menengah dipandang tinggi. Dari situ wujud rasa rendah diri ditambah lagi saya pernah dicabar.

“Jadi saya sambung pengajian diploma pada tahun 1965 dan seterusnya ijazah di UKM. Saya pernah mengajar di tingkatan enam untuk subjek Pengajian Am sebelum bersara sebagai tenaga pengajar di kolej,” ujarnya.

Perjuangan Muharam tidak terhenti di situ apabila beliau melanjutkan pengajian ke peringkat PhD, kesemuanya dilakukan kerana sikap beliau yang cintakan dan dahagakan ilmu.

“Tesis untuk PhD memang berat dan pada peringkat awal, saya berdepan banyak masalah ditambah lagi memerlukan kemahiran komputer. Perkara teknikal ini susah bagi saya.

“Alhamdulillah anak-anak sangat membantu saya selain disokong oleh Dr. Zubir serta dibantu oleh isteri, Fuziah Md. Taha, 71,” katanya.

Pada majlis konvokesyen ke-51, UKM menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,255 graduan yang telah menamatkan pengajian masing-masing. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI