fbpx
Lukisan grafik projek hartanah terbaharu Mah Sing di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Jualan M Aurora mula dibuka suku pertama tahun 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA  – Mah Sing Group Bhd. (Mah Sing) melalui anak syarikat penuhnya, Major Land Development Sdn Bhd. merancang untuk melaksanakan projek servis residensi baharu, M Aurora di tanah seluas 2.096 hektar  di Jalan Klang Lama di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) diunjur sebanyak RM660 juta.

Projek yang sedang dibuka kepada pembeli sejak suku pertama tahun ini, melibatkan pembinaan dua menara setinggi 46 tingkat di mana setiap menara menempatkan masing-masing 20 unit (Menara A) dan 21 unit (Menara B) setiap tingkat, dengan jumlah kapasiti 1,544 unit.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pendaftaran projek yang terletak di Kampung Pasir, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur itu adalah pegangan tanah secara bebas di mana hak milik tanah adalah secara komersial.

Yuran penyelenggaraan dianggarkan pada kadar RM0.30 kaki persegi, manakala setiap unit disediakan antara satu hingga tiga tempat letak kereta.

“M Aurora berkonsepkan sistem komuniti pintar melalui aplikasi MY Mah Sing termasuk tempahan kemudahan, pra-daftar tetamu/pelawat, permohonan pengubahsuaian dan pendaftaran kontraktor, kemas kini berjadual kemajuan pembinaan, pengurusan penyewa, perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan rumah serta sembang langsung dengan Mah Sing.

“Malah ciri keselamatan dipertingkatkan dengan sistem keselamatan berbilang peringkat menerusi perimeter pagar dengan CCTV, rumah pengawal keselamatan, peronda keselamatan 24/7, lobi lif yang akses kepada penduduk sahaja dan lif ke tingkat yang ditetapkan sahaja,” katanya.

Selain itu, antara ciri-ciri unggulan (USP) projek ini termasuk kolam renang lap 50 meter, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), sistem pengumpulan sisa automatik, pensijilan GreenRE Provisional Silver, serta perkhidmatan pengurusan hartanah profesional melalui M Concierge. 

Projek ini direka bentuk dengan konsep kemudahan pelbagai generasi dan susun atur ruang yang fleksibel, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga moden.

Di samping itu, M Aurora dibina di lokasi strategik yang menawarkan akses laluan ke jalan utama seperti Jalan Klang Lama, Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuh Besraya dan Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban.

“Projek ini juga berdekatan dengan pusat beli belah Pearl Point,  Bloomssvale, The Scott Garden, NSK, Amcorp Mall dan Mid Valley.

“Dalam aspek pendidikan pula, terdapat beberapa institusi berhampiran termasuk SMK Petaling, SJK(C) Yuk Chyun, Newton International College, Kolej Kemahiran Tinggi Mara Petaling Jaya, SMK (P) Taman Petaling dan SJK(C) Choong Wen,” katanya.

Bagi kemudahan kesihatan, penghuni boleh memanfaatkan perkhidmatan di Assunta Hospital, KMI Taman Desa Medical Centre dan Beacon Hospital yang semuanya berdekatan dengan kawasan projek. Terdapat juga kawasan rekreasi berhampiran termasuk Sports Arena Sentosa, Kerinchi Hill Forest Park, IWK Eco Park @ Pantai Dalam dan Taman Rekreasi Bukit Jalil.

Selain itu, pengangkutan turut disediakan di mana penghuni hanya perlu berjalan kaki 500 meter (m) ke KTM, Jalan Templer dan 600m ke KTM, Petaling, selain MRT3, Jalan Klang Lama yang masih dalam perancangan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN