fbpx
ARMIZAN

11 entiti tawar pinjaman sewa beli lebih telus mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebanyak 11 entiti institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli akan mula menawarkan kemudahan kredit sewa beli berasaskan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang berkuat kuasa esok bagi memastikan sistem pembiayaan lebih adil dan telus kepada pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan akta berkenaan turut melibatkan Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 sebagai sebahagian usaha memperkukuh perlindungan pengguna dalam urusan pembelian kenderaan.

Menurutnya, pindaan tersebut dibuat susulan kelulusan Akta Sewa Beli 1967 di Parlimen pada tahun lalu bagi memperkemaskan kerangka perundangan berkaitan ekosistem kredit pengguna.

Katanya, antara rungutan utama pengguna sebelum ini ialah beban caj faedah tersembunyi dan baki pinjaman yang masih tinggi walaupun penyelesaian awal dibuat.

“Pindaan ini memansuhkan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78) yang menyebabkan sebahagian besar bayaran ansuran awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, kaedah baharu memperkenalkan Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) yang mengira faedah berdasarkan baki pinjaman semasa,” katanya.

Selain itu, pindaan tersebut turut membenarkan penggunaan tandatangan digital dan penyerahan dokumen secara elektronik selaras dengan transformasi digital sektor kewangan.

Tambahnya, syarat usaha wajar bagi pengesahan identiti peminjam juga diperkenalkan bagi mengurangkan risiko penipuan dalam urusan sewa beli.

Menurutnya, fasa kedua pelaksanaan dijangka bermula pada September depan, manakala institusi kewangan dan syarikat yang masih melakukan integrasi serta pengubahsuaian sistem diberi tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027.

Armizan berkata, reformasi undang-undang itu membuktikan komitmen kerajaan dalam mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus, berintegriti dan melindungi kepentingan pengguna di seluruh negara.

Terdahulu, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 diluluskan Parlimen pada 2025 sebelum dikuatkuasakan secara rasmi bermula 1 Jun 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN