MELAKA – Isu haiwan terbiar di negeri ini terus mencerminkan keperluan mendesak terhadap kempen Adopt, Don’t Shop apabila sebanyak 88 ekor kucing dan anjing berjaya diselamatkan serta ditempatkan semula dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Pengarah Urusan Cat Supermarket, Datuk Chew Chert Fong berkata, pelbagai program dan inisiatif sedang digerakkan oleh pencinta haiwan termasuk kempen pengambilan haiwan angkat, kesedaran komuniti serta usaha pemandulan bagi mengawal peningkatan populasi haiwan terbiar.
Katanya, angka 88 ekor haiwan yang diselamatkan dalam tempoh Januari hingga April itu menunjukkan isu berkenaan masih serius dan memerlukan sokongan berterusan masyarakat.
“Walaupun ada yang berjaya ditempatkan, masih banyak lagi haiwan yang memerlukan peluang sama, jadi usaha seperti ini perlu diperluaskan supaya lebih ramai haiwan dapat diselamatkan.
“Sehubungan itu juga satu Program Pengambilan Kucing Angkat akan dianjurkan pada 20 dan 27 Jun 2026 di Bukit Baru, di sini, dari pukul 1 hingga 5 petang, melibatkan kerjasama Pertubuhan Pencinta Hidupan Melaka (PPHM), Melaka Strays Guardian Alliance (MSGA) dan Cat Supermarket,” katanya.
Katanya, program tersebut menyasarkan antara 10 hingga 20 ekor kucing dan anjing ditawarkan untuk pengambilan oleh keluarga baharu pada setiap sesi.-KOSMO! ONLINE













