KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan seorang bekas anggota tentera sejak 18 Mei lalu berakhir apabila warga emas itu ditemukan semula dalam keadaan selamat di Alam Damai, Cheras di sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, lelaki berusia 76 tahun yang dikenali sebagai Ismail Rasep itu dijumpai oleh anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Setapak kira-kira pukul 9.40 malam.
Menurut beliau, Ismail sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman keluarganya tanpa pengetahuan waris.
“Individu terbabit telah dijumpai semula oleh anggota CPJ Balai Polis Setapak di kawasan Alam Damai, Cheras.
“Ketika ditemui, lelaki berkenaan berada dalam keadaan sihat sebelum dibawa ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annas berkata, warga emas itu kemudiannya diserahkan semula kepada ahli keluarganya di Balai Polis Setapak.
“Kes berkenaan kini dianggap selesai selepas individu terbabit berjaya dikesan dan dipertemukan semula dengan ahli keluarganya,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Ismail keluar dari rumah dengan berjalan kaki tanpa disedari ahli keluarga.
Sebelum ini, media melaporkan bekas anggota tentera itu hilang sejak 18 Mei lalu selepas keluar dari rumah anaknya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak.
Menurut anak bongsunya, Nuri Ismail, 41, bapanya keluar dari rumah kira-kira pukul 2 petang selepas selesai makan tengah hari bersama ahli keluarga.
Katanya, Ismail memaklumkan mahu membasuh tangan sebelum disedari tiada di dalam rumah tidak lama kemudian, menyebabkan keluarga membuat laporan polis berhubung kehilangannya. – KOSMO! ONLINE














