fbpx
Lambaian terakhir Allahyarham Mohd Sukri ketika keluarga menghantarnya di Kompleks Tabung Haji KLIA, Sepang baru-baru ini.

[VIDEO] ‘Allah dah makbulkan doa ayah nak disemadikan di Mekah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat seorang warga emas untuk mengakhiri hayat di Tanah Suci seolah-olah dimakbulkan apabila lelaki itu meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji di Mekah baru-baru ini.

Perkongsian anaknya, Iqbal Sukri di Threads menyentuh hati ramai apabila menceritakan pemergian bapanya, Mohd Sukri Zakaria, 68, yang menghembuskan nafas terakhir pada 3 Jun lalu selepas mengalami serangan jantung ketika berada di Arab Saudi.

Menurutnya, tahun 2026 menjadi ujian yang amat berat buat keluarganya apabila ibunya terlebih dahulu diserang strok sebelum bapanya meninggal dunia ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Lambaian terakhir buat ayah sebelum berangkat ke Tanah Suci. Ujian berat buat kami sekeluarga pada tahun ini.

“Mak kena strok sebelum pergi haji dan ayah meninggal dunia semasa di Mekah. Semoga ayah tenang di sana. Allah telah makbulkan doa dan hajat ayah untuk disemadikan di sana,” katanya dalam hantaran tersebut.

Menurut Iqbal, bapanya tidak menunjukkan tanda-tanda sakit yang serius sebelum berangkat ke Tanah Suci dan jenazah arwah juga dilihat dalam keadaan tersenyum.

Katanya, bapanya pernah mengalami masalah saluran jantung tersumbat kira-kira enam bulan lalu, namun kembali sihat selepas menerima rawatan.

Dalam ruangan komen, Iqbal memaklumkan bapanya dipercayai mengalami serangan jantung ketika berada di Arafah dan tidak sempat menyempurnakan wukuf.

“Maklumat dari sana, ayah macam tak sempat waktu wukuf,” katanya.

Perkongsian tersebut mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu pengakhiran yang dicemburui ramai umat Islam.

Malah, beberapa netizen turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila ahli keluarga mereka meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji di Mekah.

“Salam Takziah.. Pengakhiran yang sangat baik. Ayah saya pun meninggal pada 1 Jun 2026 di Mekah. Sama-sama kita doakan untuk ayah kita. Kuat dan tabah ya,” komen Mizankamis.

“Lambaian terakhir ayah awak lambaian paling bahagia. Berseri-seri betul muka dia. Moga pak cik ditempatkan bersama para solihin,” komen Adlin pula. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN