fbpx

APCW 2023 rekod penyertaan 3,800 delegasi dari 108 negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ting Han bergambar bersama peserta pada Majlis Penutup APCW 2023 di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Persada Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini melabuhkan tirai dengan penyertaan seramai lebih 3,800 delegasi antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, delegasi daripada 108 buah negara itu hadir menyertai lebih 200 sesi yang diadakan sepanjang APCW 2023 berlangsung bermula 13 November, hingga semalam.

“Fokus utama perbincangan sepanjang APCW 2023 adalah sistem tenaga dan industri; penempatan di bandar dan luar bandar; infrastruktur, pengangkutan, tanah, air dan makanan serta ekonomi, punca pendapatan, kesihatan dan masyarakat.

“Persidangan ini juga merungkai kerumitan kesan perubahan iklim dan mencari solusi terbaik termasuk dengan menjalin hubungan kerjasama antarabangsa yang dapat membantu menyelesaikan isu global berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan APCW 2023, di sini.

Ting Han turut memberitahu, penganjuran APCW 2023 memberi impak besar buat Johor apabila julung kalinya persidangan bertaraf antarabangsa mengenai kesan perubahan iklim diadakan di bandar raya Johor Bahru.

“Penganjuran persidangan ini juga selari dengan inisiatif Johor Hijau yang sedang dijayakan kerajaan negeri. Ia turut memberitahu tumpuan kepada usaha kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian alam dalam berdepan kesan perubahan iklim.

“Sempena persidangan ini juga, kita turut melancarkan Pusat Kelestarian Johor (JSC) yang bertujuan untuk mengenalpasti projek hijau yang sesuai dilaksanakan di negeri ini,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI