KLANG – Keluarga mangsa kemalangan, Allahyarham Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemandu lelaki dipercayai mabuk dan melawan arus di Persiaran Kota di sini, 13 Mei lalu.
Bapa mangsa, Amirul Nizam Abdul Aziz, 49, berkata, pihaknya menerusi peguam telah membuat writ saman mengenai perkara itu selain telah memaklumkan kepada pegawai penyiasat polis mengenai kematian arwah petang tadi.
“Kami berharap peruntukkan seksyen atau kesalahan mengenai kejadian itu dapat dinaikkan atau ditukar kerana anak saya telah meninggal dunia.
“Sudah tentu, kami mahukan keadilan kerana kemalangan meragut nyawa Zulfiqar ini melibatkan pemandu mabuk,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) malam ini.
Sementara itu, ibu mangsa, Hamidah Othman, 51, berkata kehilangan anaknya amat dirasai kerana menjadi tulang belakang keluarga selama ini.
Terdahulu, Zulfiqar yang parah disahkan meninggal dunia petang tadi selepas 13 hari bertarung nyawa di wad ICU HTAR sejak 13 Mei lalu.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pembantu perancang acara, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisret di sini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan mangsa parah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) alkohol dalam 100 milimeter (ml) darah di Persiaran Kota di sini, kira-kira pukul 12.35 pagi, 13 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE














