PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melakar pencapaian luar biasa di pentas kulinari antarabangsa apabila seramai 48 daripada 49 pesertanya berjaya merangkul pingat pada World Chefs Championship (WCC) 2026 pada 21 hingga 23 Mei yang lalu.
Sebanyak lapan pingat Excellent Gold, 10 emas, 24 perak dan enam gangsa sekali gus meletakkan nama agensi itu sebaris dengan jaguh kulinari antarabangsa yang lain.
Kemas dalam satu kenyataan berkata, penyertaan kali ini melibatkan gabungan mantap tenaga pengajar, peserta latihan kemahiran serta wakil negeri yang bersaing dalam pelbagai kategori utama termasuk Modern Free Style 1 Tier Wedding Cake, Creative Mooncake, Traditional Cuisine, Pasta Challenge serta Pastry and Bun.
“Kejayaan meraih lapan pingat Excellent Gold ini menjadi lebih bermakna kerana ia merupakan sebahagian daripada hanya 58 pingat Excellent Gold yang dianugerahkan kepada peserta daripada lebih 40 buah negara yang bertanding.
“Gabungan kreativiti, inovasi dan persembahan moden dalam setiap hasil pertandingan terbukti berjaya menyerlahkan nilai kemahiran tinggi yang diterapkan menerusi program pendidikan kemahiran Kemas, khususnya dalam bidang masakan dan seni kulinari,” kata kenyataan itu hari ini.
WCC 2026 edisi kelima ini turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh ASEAN Records dan Asia Records sebagai kejohanan kulinari antarabangsa berulang terbesar berdasarkan jumlah negara peserta, bilangan chef yang bertanding serta penyertaan hakim antarabangsa.
Pertandingan berprestij itu merangkumi 50 kategori meliputi bidang masakan, bakeri, pastri dan seni kulinari kreatif yang menjadi antara platform paling kompetitif di dunia.
Selain Malaysia, kejohanan antarabangsa tersebut turut disertai oleh pakar masakan dan peserta dari beberapa buah negara luar termasuk Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Singapura, China, Peru, Kanada dan Vietnam.
Menurut Kemas, pencapaian luar biasa itu bukan sahaja membuktikan keupayaan warganya dalam menguasai kemahiran teknikal bertaraf antarabangsa, malah menjadi bukti komitmen mereka dalam memartabatkan identiti serta warisan kulinari tempatan ke persada dunia.
“Kejayaan di WCC 2026 ini sekali gus mengukuhkan lagi peranan Kemas sebagai sebuah institusi pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang sentiasa relevan dalam melahirkan tenaga pengajar dan pelatih yang kompeten serta berdaya saing di peringkat global,” katanya. – KOSMO! ONLINE














