PETALING JAYA – Seorang lelaki yang dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan jenayah terancang berjaya ditahan menerusi operasi khas (Op Tiga) yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, baru-baru ini.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek merupakan ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames yang dipercayai aktif di kawasan Sungai Division, Sungai Petani, Kedah.
Menurutnya, tangkapan dibuat pada 22 Mei lalu berdasarkan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani pada 25 Mac, selain suspek turut disenaraikan di bawah Notis Merah (Red Notice) Interpol yang dikeluarkan pada 24 April lepas.
“Suspek ditahan kerana disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, tangkapan tersebut dibuat dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand ketika suspek dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Katanya, suspek kini direman sehingga 29 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membunuh membabitkan dua kejadian berasingan di Padang Serai dan Bedong, Kedah sekitar Februari dan Ogos 2024.
Dalam pada itu, katanya, PDRM merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas kerjasama erat yang diberikan serta menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE














