fbpx
Amirudin ketika berucap pada Majlis Sambutan Kepulangan Aktivis GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di Sepang malam tadi. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

GSF 2.0: Malaysia sedia heret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG- Kerajaan sedia mengheret rejim Zionis ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas segala maklumat dan dokumen bukti selesai dikumpulkan oleh pasukan peguam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan undang-undang tersebut diambil berikutan siri kekejaman termasuk insiden culik dan penyeksaan yang dilakukan ke atas aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 khususnya melibatkan peserta dari Malaysia.

Menurutnya, langkah tegas itu akan disusuli dengan tindakan berterusan pihak kerajaan dalam memberikan tekanan di peringkat diplomatik bagi mendesak pembebasan sepenuhnya wilayah Gaza.

“Sebab itu saya sebutkan kepada Datuk Sani (Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby), kita tidak akan diam, kita tidak akan berhenti.

“Sementara pasukan peguam akan mengumpulkan segala maklumat dokumen pelanggaran undang-undang antarabangsa, mereka (peserta GSF) diculik bukan sekali dua kali, mereka diseksa.

“Bukan hanya itu, kita juga akan bawa ke mahkamah antarabangsa, kita akan meneruskan tekanan di peringkat diplomatik dan kita juga akan menjelajah di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Kepulangan Aktivis GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, walaupun misi GSF 2.0 telah selesai, namun komitmen kerajaan Malaysia dan kerajaan Selangor tidak akan terhenti setakat itu bagi memastikan suara membebaskan Gaza terus bergema.

Jelasnya, terdapat perancangan untuk membawa penganjuran konferens dan persidangan antarabangsa berkaitan Palestin ke Malaysia pada masa hadapan bagi menilai serta memperkasakan lagi perjuangan tersebut.

“Sumud 2.0 ataupun Flotila 2.0 bukan sahaja dengan menghantar kapten, pasukan, aktivis di laut, kita juga turut suarakan melalui persidangan antarabangsa dan selepas ini kita akan turut menilai dan juga ingin membawa persidangan itu di Malaysia,” katanya.

Kata beliau, langkah itu juga sebagai menyahut saranan Chief de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman yang mahu perjuangan tersebut diteruskan menerusi Misi Sumud 3.0 akan datang demi menamatkan krisis kemanusiaan di wilayah bergolak itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN