TAPAH – Pasukan penyelamat akan menumpukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita yang sesat di Gunung Batu Putih di sini semalam di sekitar Gunung Rayu esok.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ia kerana wanita berkenaan, Jaslinda Saludin, 49, dipercayai keluar daripada laluan sepatutnya dan menuju ke kawasan terbabit.
Beliau berkata, terdapat tanda-tanda yang ditinggalkan Jaslinda seperti tapak kaki di laluan berkenaan.
“Dia sepatutnya keluar di Kuala Woh, namun tersasar ke Gunung Rayu atau Pos Musoh.
“Kawasan itu memang tak dilalui pendaki-pendaki lain, jadi kita akan fokus pencarian di lokasi terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, trek di Gunung Rayu yang berada dalam kategori G8 ekoran tahap kesukaran pendakiannya berada di sempadan negeri Perak dan Pahang.
Sabarodzi berkata, antara halangan perlu ditempuhi pasukan penyelamat adalah masalah komunikasi, selain trek di gunung berkenaan adalah curam.
“Selain itu, semalam hujan lebat jadi berkemungkinan laluan di sana adalah licin dan sebagainya.
“Masalah lain juga adalah kawasan pencarian adalah di puncak gunung, jadi pergerakan pesawat yang melakukan kerja pencarian atau untuk menghantar penyelamat agak terbatas dengan masa ekoran awam tebal,” katanya.
Katanya, operasi hari ini dihentikan pada pukul 6 petang tadi, namun terdapat lapan anggota penyelamat kasih berada di puncak Gunung Batu Putih dan bermalam di sana.
“Pada pukul 8 pagi esok pesawat dari Pangkalan Udara JBPM di Bertam akan membawa kira-kira 16 anggota penyelamat untuk membantu pasukan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, terdapat tanda-tanda ditinggalkan Jaslinda seperti tapak kaki di laluan berkenaan.
Media hari ini melaporkan seorang wanita hilang sewaktu terlibat aktiviti mendaki Gunung Batu Putih, manakala seorang lagi pendaki lelaki mengalami masalah kesihatan, dengan dia ditemani seorang malim gunung.
Mangsa lelaki berkenaan, Mohd. Hanafi Neikmad, 41, bagaimanapun berjaya diselamatkan petang tadi dan dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan. – KOSMO! ONLINE














