SABAK BERNAM – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun melalui detik mencemaskan apabila terkunci di dalam sebuah kereta jenis Perodua Aruz di Parit 8 Sungai Leman, Sekinchan di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4.51 petang itu bagaimanapun berjaya diselesaikan pasukan bomba yang bertindak pantas membuka pintu kenderaan berkenaan menggunakan peralatan khas.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan dikejarkan ke lokasi.
“Seramai empat anggota bersama dua aset termasuk sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) tiba di lokasi kira-kira pukul 5.01 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang kanak-kanak lelaki terkunci di dalam kereta Perodua Aruz tersebut,” katanya hari ini.
Menurut beliau, komander operasi kemudian mengarahkan anggota membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Jelasnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada keluarganya dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.22 petang. – KOSMO! ONLINE














