TANJUNG MALIM – Seorang wanita maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Kuala Bikam, Sungkai dekat sini pada pukul 8.28 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan masing-masing sebuah Perodua Myvi dan Perodua Axia.
“Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki dewasa serta seorang wanita dewasa di dalam Perodua Myvi. Sementara itu, seorang mangsa lelaki dewasa di dalam Perodua Axia. Pemandu kereta Perodua Myvi mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala mangsa wanita disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan awam yang berada di lokasi kemalangan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan ringan di kaki dan luka dibahagian badan, dan kesemua mangsa cedera dihantar ke Hospital Tapah sementara yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














