fbpx

Konflik Palestin-Israel: Terpaksa lahir anak di tengah runtuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki mendukung bayi ketika melalui sebuah kawasan yang musnah akibat dibom askar Israel di Rafah, 29 Oktober lalu. – AFP

BANDAR GAZA – Masa depan bayi-bayi yang baru dilahirkan di Semenanjung Gaza kelam berikutan ketidaktentuan yang mereka hadapi di tengah-tengah risiko pengeboman tanpa perikemanusiaan askar Rejim Zionis, lapor akhbar Palestine Chronicle kelmarin.

Dalam masa sama, wanita hamil turut berdepan situasi sukar yang menyaksikan ada antara mereka terpaksa melahirkan anak di tepi jalan atau runtuhan bangunan.

Beberapa organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terdiri daripada Tabung Kanak-Kanak PBB, Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA), Agensi Kesihatan Seksual dan Reproduktif PBB serta dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran tersebut dalam satu kenyataan bersama.

“Kematian dalam kalangan wanita hamil dijangka meningkat berikutan kekurangan akses kepada penjagaan maternal yang mencukupi.

“Nyawa bayi-bayi yang baru dilahirkan terancam setiap masa. Sekiranya hospital kehabisan bekalan api, nyawa kira-kira 130 bayi pramatang yang bergantung kepada perkhidmatan penjagaan neonatal dan rapi akan berada dalam bahaya,” kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan yang sama, dianggarkan terdapat 50,000 wanita hamil di Gaza dengan lebih 180 orang melahirkan anak setiap hari.

“Sebanyak 15 peratus daripada mereka berkemungkinan mengalami komplikasi berkaitan kelahiran dan memerlukan rawatan perubatan tambahan.

“Dengan 14 hospital dan 45 pusat penjagaan kesihatan primer ditutup, sebilangan wanita terpaksa bersalin di tempat perlindungan, rumah, di jalanan di tengah-tengah runtuhan atau kemudahan penjagaan kesihatan yang terkepung.

“Ini diburukkan lagi dengan keadaan sanitasi yang semakin teruk serta risiko jangkitan dan komplikasi perubatan semakin meningkat,” jelas kenyataan berkenaan.

Lebih separuh daripada penduduk Gaza kini berlindung di kemudahan UNRWA dalam keadaan teruk, dengan bekalan air dan makanan yang tidak mencukupi. Ia menyebabkan kelaparan dan kekurangan zat makanan, dehidrasi dan penyebaran penyakit bawaan air. 

Menurut penilaian awal UNRWA, 4,600 wanita hamil yang kehilangan tempat tinggal dan kira-kira 380 bayi baru lahir yang tinggal di kemudahan itu memerlukan rawatan perubatan.

PBB telah berulang kali memberi amaran bahawa kemudahan perubatannya di enklaf Palestin yang terkepung itu berjalan pada kapasiti maksimum.

Tanpa bekalan bahan api, agensi-agensi PBB tidak lama lagi mungkin terpaksa berhenti membantu penduduk Semenanjung Gaza.

Setakat ini, lebih 9,500 penduduk Palestin di Gaza termasuk 3,900 kanak-kanak dan 2,500 wanita terbunuh selain lebih 24,000 orang cedera sejak askar Israel melancarkan serangan pada 7 November lalu.

Tentera Zionis terus membedil rumah orang awam serta infrastruktur awam tanpa henti dan melaksanakan pembunuhan beramai-ramai serta tidak mengendahkan desakan dunia untuk melakukan gencatan senjata. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI