PETALING JAYA – Seorang penduduk Gaza, meraih perhatian apabila menyampaikan mesej dan penghargaan kepada peserta misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang didakwa berdepan serangan dan penahanan, baru-baru ini.
Menerusi video dimuat naik di Instagram, Mohanad Abo Qamar turut membuat permohonan maaf kepada peserta GSF 2.0 berikutan apa yang telah berlaku sepanjang misi berkenaan berlangsung.
“Maafkan kami pahlawan Global Sumud Flotilla atas apa yang telah terjadi berhubung insiden serangan sehingga ditahan serta hinaan yang menimpa kalian daripada zionis.
“Maafkan kami. Aku bersumpah, jika Gaza dalam kekuatannya, kami tidak akan meninggalkan kalian,” katanya dalam video tersebut.
Menurutnya, meskipun misi tersebut belum berjaya sampai ke Gaza, namun peserta GSF secara tidak langsung telah berjaya menawan hati seluruh rakyat Gaza.
“Aku bersumpah, kalian memang belum sampai ke Gaza, tetapi kalian sudah mendapatkan hati semua rakyat Gaza. Semoga Allah memberkati dan membalas jasa kebaikan kalian semua,” ujarnya.
Ucapan tersebut sekali gus mengundang reaksi menyentuh hati dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan ia sebagai penghargaan rakyat Gaza terhadap solidariti antarabangsa.
GSF merupakan sebahagian daripada gerakan solidariti antarabangsa yang menghimpunkan aktivis daripada pelbagai negara bagi membawa bantuan kemanusiaan dan menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin.
Terdahulu, dalam misi tersebut, sebanyak 39 kapal GSF 2.0 telah dipintas ketika cuba meneruskan pelayaran ke Gaza, dengan seramai 428 aktivis daripada pelbagai negara ditahan termasuk 29 rakyat Malaysia sebelum kesemuanya dibebaskan. – KOSMO! ONLINE














