PETALING JAYA – Pelakon jelita Che Puan Juliana Evans mengumumkan berita gembira mengenai dirinya yang kini hamil anak ketiga.
Juliana atau nama sebenarnya, Juliana Sophie Johari Evans, 36, berkata sememangnya kehadiran ahli keluarga baharu sebagai sesuatu yang dinanti-nantikan.
“Nampaknya, saya tidak belajar daripada pengalaman sebelum ini! Saya bergurau sahaja.
“Saya memang tahu diri ini akan menambah sekurang-kurangnya seorang lagi (anak) dan tahun ini adalah waktu yang sangat sesuai,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Menerusi hantaran tersebut, pelakon filem Pulang itu berkongsi video bercerita sambil memegang bahagian perut yang menampakkan ‘baby bump’.
Begitupun, Juliana memilih untuk tidak mendedahkan perincian kandungannya yang kelihatan sudah seperti memasuki trimester ketiga.
Terdahulu, aktres berdarah campuran Melayu- dan Amerika Syarikat itu mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah pada 30 April 2017.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, 7, dan Tengku Saidatul Ihsan Zabedah Fauziah Putri, 3 tahun. – KOSMO! ONLINE














