fbpx

Patin pupus ‘bunuh’ ekonomi Temerloh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Ahad lalu penulis berkesempatan ke kawasan sekitar Bangau, Temerloh, agak ‘pelik’ apabila melihat kebanyakan kedai makan menjual juadah patin kosong tanpa pelanggan.

Kalau ada pun tidak seramai seperti sebelum ini yang kebia­saannya dipenuhi orang ramai yang sebahagiannya berkunjung ke daerah titik tengah Semenanjung itu hanya untuk merasai keenakan patin Temerloh.

Mungkin disebabkan keadaan ekonomi semasa menyebabkan kurangnya pelanggan atau pe­nangan ‘isu juadah ikan busuk’ yang menyebabkan pengguna berasa tertipu.

Isu patin busuk bermula apabila seorang pelanggan yang datang dari Kuantan mengadu mengenai kekecewaannya apabila dihidangkan juadah patin berbau busuk dan lebih malang tidak mendapat ganti rugi.

Susulan daripada aduan ibu mengandung berkenaan telah menyaksikan rantaian keluhan dan aduan orang ramai yang ­yang turut menerima nasib sama mendapat juadah patin busuk.

Susulan itu, Majlis Perbandaran Temerloh bertindak segera melakukan pemeriksaan ke atas semua kedai makan apabila mendapati faktor penyimpanan dan kualiti tempoyak adalah punca.

Bagaimanapun, di sebalik semua itu, isu bekalan patin Temerloh harus diberi perhatian kerana difahamkan pada masa ini bekalan patin untuk daerah itu sahaja tidak mencukupi.

Krisis patin Temerloh telah lama berlaku antaranya ikan mati, masalah pembesaran ikan, banjir, kemarau, harga makanan ikan tinggi, isu benih sehingga menyaksikan ada penternak terpaksa gulung tikar.

Perkara inilah yang perlu diberi perhatian segera kerana tanpa bekalan patin sangkar Temerloh, maka keunikan Patin Temerloh akan hilang apabila peniaga terpaksa mengimport patin luar termasuk patin kolam.

Sudah tentu kualiti patin terjejas seterusnya timbul isu bau busuk akibat proses penyimpanan patin dan penghantaran tidak dijaga. Mungkin akan ada isu rasa lumpur akibat patin kolam.

Penyelaras Parlimen Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli berkata, ikan patin adalah teras dalam pembangunan ekonomi daerah yang bergantung kepada gastro tourism.

Justeru katanya, satu ­jawatankuasa khas perlu ditubuhkan segera bagi menjaga dan memelihara industri patin Temerloh yang menjadi teras ­utama kepada industri pelanco­ngan dan pembangunan ekonomi daerah itu.

Jelasnya, jawatankuasa khas yang akan menjadi badan bertindak dan pemantau industri patin itu perlu dianggotai semua jabatan terlibat bagi menjaga industri patin secara umum dan atau juadah masakan patin ini secara khusus.

Difahamkan, ketika ini terdapat lebih 130 kedai menyediakan juadah ikan patin di Temerloh, namun sebarang isu patin ini tidak hanya memberi kesan kedai-kedai berkenaan sahaja tetapi juga pelbagai industri lain termasuk hotel dan pelbagai ­perniagaan.

Jadi tidak mustahil jika industri patin Temerloh lumpuh turut mengakibatkan ekonomi daerah di pesisir sungai Pahang turut lumpuh sekali gus memberi kesan kepada keseluruhan.

Seorang peniaga di Temerloh dikenali sebagai Faisal berkata, kalau isu ayam busuk berlaku di Temerloh ia tidak apa, tetapi jangan isu juadah patin busuk kerana ia ibarat nyawa Temerloh.

Semoga industri patin Temerloh terus kekal dan keenakan patin Temerloh tidak pupus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI