Sungai Perak merupakan sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia dengan jarak sekitar 400 kilometer, bermula dari kawasan Hulu Perak dan mengalir hingga ke muara di Bagan Datuk.
Lebar sungai pula berbeza-beza, sempit di hulu dan melebar luas di bahagian hilir. Dari sudut sejarah pula, sungai ini pernah menjadi laluan utama perdagangan bijih timah dan memainkan peranan penting dalam perkembangan awal Perak.
Selain itu, ia terkenal sebagai lokasi penggambaran beberapa karya filem tempatan arahan Allahyarham Mamat Khalid, termasuk babak ikonik dalam filem Senario Lang Buana yang memaparkan formasi batu-batu unik di sepanjang sungai ini.
Sungai ini juga merupakan destinasi sukan memancing yang mempunyai potensi tinggi melalui kaedah mengilat kerana saiz dan spesies ikannya pelbagai.
Walaupun arus di kebanyakannya lokasi perlahan, namun kemahiran tekong berpengalaman amat diperlukan kerana di sungai ini banyak struktur berbatu serta reba kayu tersembunyi.
Tekong
Saudara Syafiq Affandi, anak jati Kampung Tahan di Sauk dan Tuan Faisal antara tekong berpengalaman di Sungai Perak.
Mereka mula mengemudi bot sejak dari usia muda lagi, sekali gus menjadikan pengalaman mereka cukup luas dalam memahami selok-belok sungai ini. Maka, tidak hairanlah jika khidmat mereka menjadi pilihan pemancing.
Mereka adalah contoh anak jati tempatan yang mendapat manfaat limpahan ekonomi menerusi sukan memancing.
Trip kali ini, saya menggunakan bot sepanjang 14 kaki yang cukup selesa untuk dua orang pemancing dan seorang tekong.
Bot ini dipacu dengan enjin 15 kuasa kuda yang mampu meredah arus sungai dengan baik.
Kadar sewaan pula amat berpatutan sekitar RM250 untuk satu hari, termasuk khidmat tekong. Menariknya, tekong di sini mengamalkan konsep ‘tangkapan terpilih’ (bag limit) bagi memastikan kelestarian sumber ikan terus terpelihara.
Jajaran lubuk
Kami dibawa memancing bermula dari Kampung Intan Suraya hingga ke Kampung Chegar Galah.
Jajaran ini menawarkan pelbagai struktur seperti reba, batu dan selekoh sungai yang sangat berpotensi untuk aktiviti mengilat.
Setiap lubuk pula mempunyai karakter tersendiri dan memerlukan pendekatan berbeza, maka fokus harus diberikan kepada arahan tekong bagi menjamin potensi hasil sambaran yang maksimum.
Sepanjang trip, sambaran ikan sangat memberangsangkan dengan spesies ikan yang sering menyambar gewang seperti lampam sungai, sebarau, baung, nyenyuar dan kerandang.

Sesekali kelihatan induk ikan toman membawa anak di permukaan air. Namun, kami memilih untuk tidak mengganggunya kerana spesifikasi peralatan kami tidak sesuai pada ketika itu.
Saya menggunakan dua set pancing, pertama set baitcaster dengan joran berkekuatan 10 paun (lb), mainline 10lb dan leader 15lb.
Set ini saya kira cukup optimum untuk menahan asakan sebarau baya sekilogram.
Manakala set kedua pula adalah pancing ultra-light berkekuatan 6lb yang sangat menyeronokkan apabila melayan lampam agresif.
Gewang pula, antara yang berkesan ketika trip adalah spoon, inline spinner, topwater keluaran Huzairy Works dan minnow WS40 berwarna hijau buatan Wild Stream.
Gewang ultra minnow bersaiz kecil Kemmah Custom Works daripada saudara Amir Hakim ternyata sangat sesuai kerana kebanyakan ikan di sini gemar memburu mangsa saiz kecil.
Hasil tinjauan, gewang berukuran bawah 50 milimeter sangat bersesuaian bagi mendapatkan hasil sambaran yang pelbagai.
Teknik
Teknik utama hasil daripada panduan tekong adalah dengan melontar gewang ke kawasan berstruktur seperti reba dan tebing berpokok.
Terdapat jajaran pokok-pokok kelapa sawit yang ranting dan daunnya mencecah permukaan air menghasilkan kanopi redup. Jika gewang dihantar ke lokasi tersebut, potensi untuk mendapat sambaran ikan amat tinggi.
Dalam trip ini, saya banyak melakukan karauan gewang jenis selaman secara sederhana laju dengan variasi stop and go dan jerk.
Bagi gewang topwater pula, aksi percikan kecil sangat efektif untuk menarik perhatian lampam dan sebarau.
Awal pagi adalah waktu terbaik kerana menurut tekong, ikan lebih agresif dan gemar menyambar gewang permukaan ketika itu. Selain itu, keadaan air yang sedikit keruh
dan tidak terlalu jernih juga memberikan kelebihan kerana ikan kurang culas.
Ekonomi dan pelancongan
Apa yang menarik, aktiviti memancing di Sungai Perak sebenarnya memberi impak ekonomi positif kepada penduduk tempatan melalui perkhidmatan tekong, penyewaan bot, inap desa, kedai makan, kedai kraf tangan, jualan ikan air tawar dan kedai peralatan memancing.
Jika dimajukan secara sistematik, saya pasti Sungai Perak berpotensi menjadi hub pelancongan sukan memancing yang popular bukan sahaja kepada individu, malah untuk seisi keluarga.
Bagi saya, pengalaman di sini bukan sekadar memancing, tetapi satu perjalanan menikmati alam dan menghargai khazanah semula jadi negara yang wajar mendapat perhatian badan berwajib termasuk Kementerian Pelancongan.














