KUANTAN – Gara-gara dipercayai memandu dalam pengaruh ‘vape mushroom’ sebuah trak pikap merempuh sebuah kedai alat ganti kereta dan melanggar seorang pejalan kaki di Jalan Besar Kuantan di sini semalam.
Kejadian menyebabkan seorang pejalan kaki mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asistem Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu berlaku ketika pemandu trak pikap jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari Jalan Teluk Sisek menghala ke bandar Kuantan.
” Apabila sampai di lokasi kejadian, semasa bergerak lurus, tiba-tiba kenderaan berkenaan hilang kawalan dan melanggar pejalan kaki serta kedai alat ganti tersebut.
“Kejadian menyebabkan seorang pejalan kaki yang merupakan lelaki berusia 68 tahun mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya susulan kejadian pihak polis menahan pemandu trak pikap berusia 21 tahun untuk siasatan lanjut.
Katanya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemukan satu botol plastik yang dipercayai dadah jenis sintetik MDMA.
“Pemandu juga disyaki memandu dalam pengaruh dadah dan terus di bawa ke balai polis untuk ujian saringan air kencing,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














