fbpx

Gangguan air: Khamis dijangka pulih bekalan air di Petaling, KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat telah dilakukan mengikut jadual pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, kerja tersebut dimulakan pukul 9 pagi dan dijangka siap pukul 7 petang ini.

Katanya, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di kesemua kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat pada pukul 12 tengah hari, Khamis ini.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 338 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual susulan kerja-kerja tersebut.

Jelas Air Selangor, pihaknya telah mengadakan sesi taklimat semalam dengan wakil-wakil rakyat bagi kawasan yang terjejas yang diketuai Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim.

Tambahnya, sesi taklimat tersebut adalah bagi memastikan kelancaran pembekalan air untuk para pengguna.

“Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bantuan bekalan air alternatif menerusi tujuh Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna,” katanya.

Mengulas lanjut, Air Selangor berkata, bagi pelanggan komersial pula boleh membeli bekalan air terawat di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara,” ujarnya.

Justeru, kata Air Selangor, para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Berikut senarai kawasan gangguan  bekalan air .-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI