PETALING JAYA – Pembukaan Laluan LRT3 Shah Alam mula memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya apabila ramai netizen berkongsi pengalaman mendakwa kesesakan trafik di beberapa laluan utama sekitar Shah Alam dan Klang semakin berkurangan sejak perkhidmatan itu beroperasi.
Di laman Threads, pengguna @Otterphant berpandangan keadaan lebuh raya yang semakin lengang membuktikan rakyat Malaysia memerlukan lebih banyak sistem pengangkutan awam yang cekap.
“Tengok orang ramai naik LRT3 ni sampai lebuh raya dah tak banyak kereta. Tu apa maksudnya? Tu maksudnya rakyat Malaysia perlukan lebih banyak kenderaan awam. Tolonglah kerajaan Malaysia, banyakkan lagi ya,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Nurfatinijamil, turut memuat naik gambar perbandingan keadaan jalan raya sebelum dan selepas pembukaan LRT3 sambil mengucapkan penghargaan terhadap sistem pengangkutan baharu itu.
“Terima kasih LRT3. Dah kurang kesesakan trafik,” katanya.
Sementara itu, pengguna @itswinghoong berkongsi keadaan trafik menuju ke AEON Bukit Tinggi sekitar pukul 1.09 tengah hari yang lazimnya sesak, namun kali ini kelihatan lebih lancar selepas LRT3 mula beroperasi.
Pengguna @Amir4razali pula menyifatkan keadaan di Plaza Tol Setia Alam pada pukul 8 pagi jauh lebih lancar berbanding kebiasaan.
“Terima kasih LRT3! Tol Setia Alam pada 8am dah tak sesak. Selalunya waktu macamni mesti kereta melekat (trafik sesak),” katanya.
LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer yang menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia mula beroperasi pada 29 Jun lalu dengan kerajaan turut menawarkan tambang percuma selama sebulan sehingga 31 Julai bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan tersebut. – KOSMO! ONLINE














