KUALA LUMPUR – Projek LRT Laluan Shah Alam (LRT3) tidak melibatkan sebarang pertambahan kos walaupun mengalami kelewatan pembinaan, sebaliknya kontraktor dikenakan denda lewat siap sebanyak RM2.729 juta sehari, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Menurutnya, dakwaan bahawa projek itu mengalami peningkatan kos adalah tidak tepat kerana ia dilaksanakan menerusi kontrak harga tetap (fixed price – turnkey contract), sekali gus mengelakkan sebarang tambahan kos kepada kerajaan.
Jelas beliau, mengenai kelewatan projek, ia berpunca daripada beberapa isu pengintegrasian sistem yang dikenal pasti ketika ujian kritikal dijalankan.
“Ujian-ujian integrasi ini dijalankan berulang-ulang kali secara iteratif sehingga kesemua isu-isu tersebut berjaya diselesaikan, bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna serta kelancaran operasi tren.
“Jadi tiada sebarang penambahan kos memandangkan projek ini merupakan projek kontrak harga tetap. Malah, kontraktor berhadapan denda lewat siap sebanyak RM2.729 juta sehari,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta penjelasan mengenai kelewatan pelaksanaan projek LRT3 serta dakwaan pertambahan kos sehingga menimbulkan persoalan terhadap kecekapan kerajaan mengurus projek pengangkutan awam.
Jawapan itu turut menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai tarikh operasi penuh dan kapasiti sistem LRT3.
Menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz mengenai pengurangan skop projek LRT3 pada 2018 yang menyaksikan kos projek dikurangkan daripada RM31.6 bilion kepada RM16.6 bilion, Hasbi memberi jaminan kapasiti sedia ada masih mencukupi untuk menampung permintaan penumpang.
Beliau berkata, unjuran awal menunjukkan LRT3 dijangka membawa kira-kira 67,000 penumpang sehari pada tahun pertama operasi, manakala kapasiti maksimum sistem mencecah 223,560 penumpang sehari, iaitu jumlah yang diunjurkan hanya akan dicapai sekitar tahun 2040.
“Insya-Allah, kapasiti sedia ada akan memenuhi keperluan semasa. Pada masa sama, kita juga mempunyai perancangan fasa kedua projek ini yang melibatkan penambahan lima stesen dan tujuh set tren lagi sekiranya diperlukan,” katanya.
Hasbi berkata, platform di semua stesen turut direka bentuk bagi membolehkan kapasiti tren ditambah pada masa hadapan.
“Walaupun ketika ini tren yang digunakan terdiri daripada tiga gerabak, platform yang dibina masih mempunyai ruang untuk penambahan gerabak apabila jumlah penumpang meningkat pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hasbi berkata, LRT Laluan Shah Alam yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer mula beroperasi sepenuhnya hari ini selepas memperoleh pengesahan keselamatan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta kelulusan pembukaan oleh Menteri Pengangkutan.
Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, kerajaan turut menawarkan tambang percuma selama 30 hari bermula hari ini hingga 31 Julai 2026 melibatkan perkhidmatan tren LRT3 serta bas perantara di sepanjang laluan tersebut.
Hasbi berkata, LRT3 menggunakan 22 set tren tiga gerabak yang mampu membawa kira-kira 6,210 penumpang sejam bagi setiap arah atau 223,560 penumpang sehari.
Beliau berkata, pembukaan LRT3 merupakan antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara dan dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat. – KOSMO! ONLINE














