fbpx
Orang ramai mengambil peluang mencuba menaiki perkhidmatan LRT 3 Laluan Shah Alam selepas ia mula dibuka bermula semalam.

Naik LRT3, warga Shah Alam dan Klang jimat RM500 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pembukaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam bermula semalam memberi kelegaan kepada pengguna, khususnya penduduk di Klang dan Shah Alam apabila rata-ratanya mengakui perkhidmatan itu menjimatkan ratusan ringgit setiap bulan.

Antara maklum balas lain yang diterima Kosmo! ialah pembukaan LRT 3 memberi nafas baharu buat penduduk sekitar apabila mereka tidak perlu lagi berdepan kesesakan lalu lintas ke ibu negara.

Perkongsian seorang pengguna Threads @Beaybahrin, menyaksikan wanita itu meluahkan rasa syukur selepas mencuba perjalanan menaiki LRT3 dari Stesen Johan Setia ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, perjalanan yang bermula pada pukul 7 pagi dari Johan Setia membawanya ke Stesen Glenmarie 2 untuk pertukaran ke Laluan Kelana Jaya sebelum tiba di KL Sentral pada pukul 8.34 pagi dan sampai ke pejabat di Plaza Sentral kira-kira pukul 8.45 pagi.

“Rasa nak nangis sebab dah tak penat nak hadap kesesakan lepas ini. Alhamdulillah,” katanya.

Pengguna itu turut memaklumkan kawasan parkir di Stesen Johan Setia ketika ini luas dan masih disediakan secara percuma untuk pengguna yang ingin meletakkan kenderaan sebelum meneruskan perjalanan menggunakan LRT3.

Jelasnya, sebelum ini dia membelanjakan kira-kira RM600 sebulan untuk kos perjalanan, namun kini menjangkakan perbelanjaannya hanya sekitar RM200.

Seorang lagi pengguna, @Noruru Anyuaa, yang bekerja di Jalan Sultan Ismail berkata, dia mengambil masa kira-kira dua jam untuk ke pejabat menggunakan gabungan LRT3 dan MRT.

Menurutnya, perjalanan dari Johan Setia ke Bandar Utama sebelum bertukar ke Laluan Perkhidmatan Transit Aliran Massa Kajang menuju Bukit Bintang mengambil masa satu jam 45 minit, diikuti berjalan kaki selama 15 minit ke pejabat.

“Jumlah dua jam, tetapi dapat jimat sekitar RM500 sebulan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Husaini Mohd. Yunus berkata, pas perjalanan bulanan bernilai RM50 jauh lebih menjimatkan berbanding kos minyak, tol serta perbelanjaan memandu sendiri ke Kuala Lumpur.

“Memang jimat sungguh. Berbahagialah warga Klang dan Shah Alam serta syukurilah,” katanya.

LRT3 Shah Alam yang menghubungkan Bandar Utama dengan Johan Setia mula beroperasi kepada orang ramai bermula semalam selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu mempunyai 20 stesen yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang serta dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di koridor berkenaan.

Sempena pembukaannya, tambang percuma ditawarkan sehingga 31 Julai ini kepada orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN