fbpx
Calvin (dua kanan) dan Brett (kanan) pada majlis pelancaran pesawat bertema Spider- Man: Brand New Day di Lapangan Terbang Changi, Singapura hari ini.

Scoot perkenal tema Spider-Man guna pesawat Boeing 787, Airbus 321NEO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SINGAPURA – Scoot, anak syarikat tambang rendah Singapore Airlines terus mencipta kelainan dalam industri penerbangan serantau dengan menawarkan pengalaman unik kepada penumpang menerusi kolaborasi bersama Sony Pictures bagi filem Spider-Man: Brand New Day.

Menerusi kolaborasi itu, penumpang bakal menikmati pengalaman penerbangan unik bertemakan filem ikonik Spider-Man menerusi penampilan istimewa dua pesawat Scoot iaitu Boeing 787 Dreamliner dan Airbus 321 New Engine Option (NEO).

Pesawat Boeing 787 yang turut dilengkapi dengan pelekat dan sarung penyandar kepala khas selain menampilkan muzik daripada filem Sony Pictures Spider-Man: Brand New Day dijadualkan memulakan penerbangan sulung ke Tokyo Haneda hari ini.

Sementara itu, pesawat Airbus 321NEO pula bakal terbang ke Chiang Mai, Thailand pada esok. Kedua-dua pesawat turut dijadualkan beroperasi ke bandar terpilih di Australia, China, Jepun, Filipina dan Thailand sehingga 13 September depan.

Menurut Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan, sebagai syarikat penerbangan tunggal bekerjasama dengan filem Spider-Man di Asia Pasifik, pelancaran itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam menggabungkan elemen pengembaraan, hiburan dan budaya secara lebih segar.

“Kami percaya bahawa perjalanan bukan sekadar mengenai destinasi yang dituju, tetapi juga mengenai siapa diri kita apabila melalui pengalaman tersebut.

Ruangan kabin pesawat Boeing 787 Dreamliner turut dihiasi dengan paparan Spider-Man: Brand New Day dilengkapi alunan muzik tema filem berkenaan.

“Sama seperti perjalanan Spider-Man yang penuh dengan pencarian jati diri, perkembangan peribadi dan keberanian meneroka peluang baharu. Jadi, pengalaman pengembaraan juga mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi kepada orang ramai melihat dunia serta diri mereka daripada perspektif berbeza.

“Kepercayaan yang sama terhadap semangat pengembaraan, perkembangan diri dan penemuan sesuatu yang baharu pada setiap hari seterusnya menjadi titik persamaan antara Scoot dan Sony Pictures menerusi Spider-Man: Brand New Day,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pesawat bertema filem Spider-Man: Brand New Day yang turut dihadiri Naib Presiden Eksekutif, Pelepasan Antarabangsa Asia Pasifik, Sony Pictures Entertainment, Brett D. Hogg.

Tambah beliau, hiasan khas di pesawat Boeing 787 Dreamliner dan Airbus321NEO membolehkan pelanggan menikmati pengalaman bertemakan filem ikonik bagi penerbangan jarak dekat, sederhana dan jauh.

Bagi menawarkan penumpang pengalaman imersif yang menyeluruh, perjalanan Spider-Man: Brand New Day bersama Scoot akan bermula di kaunter daftar masuk Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura yang turut dihiasi watak ikonik itu.

Selain itu, bagi memudahkan tempahan pelanggan, pesawat bertema itu turut ditandakan di laman web selain aplikasi mudah alih dan WeChat Mini Scoot. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN