SHAH ALAM – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang mengkaji langkah mengurangkan tempoh menunggu tren di setiap stesen Laluan Transit Aliran Ringan (LRT3) Shah Alam bagi meningkatkan keselesaan serta pengalaman pengguna.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Amir Hamdan berkata, pihaknya mengambil maklum maklum balas pengguna yang menyifatkan tempoh menunggu tren sekitar lapan minit agak lama meskipun perjalanan antara stesen hanya mengambil masa tiga hingga empat minit.
“Waktu perjalanan dari satu stesen ke satu stesen hanya sekitar tiga hingga empat minit, namun tempoh menunggu tren di stesen mencecah kira-kira lapan minit.
“Apapun, kita akan lihat bagaimana hendak mengurangkan waktu menunggu tren seperti mempercepatkan tren sampai ke sesebuah stesen.
“Namun, untuk mempecepatkan tren ini, kita perlu bincang dan buat ujian dengan bahagian keselamatan,” katanya selepas meninjau operasi LRT3 di sini, hari ini.
Menurut beliau, Rapid KL turut menyediakan lebih 30 van dan bas di semua stesen LRT3 bagi memudahkan pengguna meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Katanya, Prasarana juga akan menambah baik pelbagai kemudahan di setiap stesen termasuk mesin tiket, eskalator, kipas dan fasiliti lain bagi memastikan keselesaan pengguna sentiasa terjamin. – KOSMO! ONLINE














