DUBAI – Lebih 5,500 pasangan kekasih di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjalani ujian genetik sebelum berkahwin di beberapa kemudahan Perkhidmatan Kesihatan Emiriah sejak program itu diwajibkan pada Januari 2025, lapor portal berita Gulf News.
Menurut Perkhidmatan Kesihatan UAE, seramai 5,506 pasangan berjaya melengkapkan ujian tersebut pada akhir Mei 2026, dengan 5,294 individu atau 96.1 peratus kes mempunyai keserasian dari segi genetik.
Seramai 212 lagi pasangan atau 3.9 peratus didapati tidak serasi dari segi genetik, demikian menurut akhbar Emarat Al Youm.
Daripada kes yang tidak serasi, kira-kira 95 kes atau 44.8 peratus melibatkan pasangan yang mempunyai pertalian darah.
Pengarah Penjagaan Kesihatan Primer Perkhidmatan Kesihatan UAE, Dr Karima Al Raisi berkata, ujian genetik pra-perkahwinan menjadi tonggak utama dalam usaha untuk mencegah penyakit keturunan dan mengurangkan risiko penularan kepada generasi akan datang.
Ia juga membantu meningkatkan kesedaran awam, dengan kadar pasangan tidak serasi secara genetik yang memilih untuk meneruskan perkahwinan, menurun kepada 75 peratus daripada 90 peratus sejak program itu diperkenalkan.
“Penurunan ini membuktikan bahawa pasangan kekasih semakin memahami tentang kepentingan menjalani saringan dan kaunseling genetik dalam membuat keputusan kesihatan sebelum berkahwin,” kata Raisi.
Perkhidmatan Kesihatan Emirates menyediakan ujian genetik pra-perkahwinan di 21 pusat kesihatan di seluruh UAE, dengan keputusan akan tersedia dalam masa 10 hingga 14 hari bekerja.
Bagi individu yang menerima keputusan positif atau tidak serasi, mereka akan dirujuk kepada doktor dan pakar genetik untuk menjalani sesi kaunseling. – AGENSI














