fbpx
Orang ramai tidak melepaskan peluang menaiki tren LRT3 secara percuma di stesen LRT3 Glenmarie 2, Shah Alam, semalam. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

60,000 penumpang guna Laluan LRT3 Shah Alam pada hari pertama operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam merekodkan lebih 60,000 perjalanan penumpang pada hari pertama operasinya, semalam.

Jumlah tersebut merangkumi keseluruhan penggunaan rangkaian Laluan Shah Alam, termasuk perkhidmatan tren, bas perantara dan Rapid KL On-Demand (ROD).

Daripada jumlah tersebut, 58,865 perjalanan direkodkan melalui perkhidmatan tren.

Sebanyak 3,319 perjalanan lagi menerusi rangkaian first-last mile Rapid KL, melibatkan 1,883 perjalanan menggunakan bas perantara dan 1,436 perjalanan melalui perkhidmatan ROD.

Rekod itu sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian rel baharu yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata, sambutan tersebut merupakan petanda positif terhadap penerimaan masyarakat terhadap laluan baharu berkenaan.

Beliau berkata, lebih 60,000 perjalanan pada hari pertama menunjukkan bahawa masyarakat memerlukan pilihan pengangkutan awam yang lebih baik di koridor barat Lembah Klang.

“Ini merupakan permulaan yang amat memberangsangkan. Kami akan terus memantau corak perjalanan penumpang, prestasi operasi serta maklum balas pengguna bagi memastikan pengalaman perjalanan terus dipertingkatkan apabila semakin ramai mula menggunakan laluan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Rapid KL turut menempatkan petugas operasi, pegawai stesen serta Rapid Troopers di semua stesen Laluan Shah Alam bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat perjalanan serta memudahkan pertukaran ke perkhidmatan bas perantara dan ROD.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan bahawa tambang percuma bagi semua perjalanan menggunakan Laluan Shah Alam dan perkhidmatan bas perantara di sepanjang jajaran laluan tersebut diteruskan sehingga 31 Julai ini.

Inisiatif itu memberi peluang kepada lebih ramai pengguna mencuba rangkaian baharu berkenaan serta menikmati pengalaman perjalanan yang lebih mudah, pantas dan bersepadu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN