fbpx

Bunuh 23 penghuni tahfiz Ittifaqiyah, pemuda kekal dijel, 1 lagi bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian kebakaran pusat tahfiz Ittifaqiyah enam tahun lalu.

PUTRAJAYA – Seorang pemuda berusia 22 tahun yang didakwa 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian menyayat hati enam tahun lalu, kekal dihukum penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Dalam kejadian 14 September 2017 itu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abu Bakar Jais (kini hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan demikian selepas menolak rayuan pemuda itu selaku perayu penama pertama untuk bebas daripada pertuduhan tersebut.

Dua lagi panel hakim yang turut bersidang ialah Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Ketika penghakiman dibacakan oleh hakim Che Mohd. Ruzima, panel itu berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan empat elemen dalam pendakwaan yang menjurus kepada perbuatan penama pertama membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu.

Sementara itu panel-panel sama turut menolak rayuan pendakwa raya terhadap seorang lagi pemuda yang juga berusia 22 tahun yang merupakan penama kedua atas pertuduhan sama.

Dalam prosiding terdahulu, penama pertama merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya atas pertuduhan membunuh kesemua mangsa manakala pihak pendakwaaan merayu terhadap pembebasan penama kedua.

Pada 11 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah, mustahil kejadian kebakaran di Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat itu hanya dilakukan oleh seorang individu berdasarkan penemuan dua tong gas di tingkat atas asrama pusat tahfiz itu, enam tahun lalu.

Hujah beliau, tong gas tersebut masing-masing seberat 14 kilogram tidak mungkin mampu diangkat secara berseorangan dari tingkat bawah melalui tangga.

May Ling menghujahkan, satu tong gas diletakkan secara menegak dan satu lagi melintang sebelum petrol disimbah di hadapan pintu.

Pada prosiding rayuan 9 Mac lalu, May Ling berhujah, pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan ikut keadaan melalui seorang penghuni pusat tahfiz itu yang melihat kepulan asap ketika terjaga awal pagi hari kejadian.

Hujah beliau, meskipun tidak dapat mengesahkan waktu kejadian, saksi berusia 17 tahun itu menyaksikan asap manakala api ketika itu belum kelihatan.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili kedua-dua pemuda tersebut berhujah, tiada pengecaman positif berkaitan anak-anak guamnya yang boleh dikaitkan dengan kejadian tersebut.

Pembelaan menghujahkan, tiada keterangan yang menunjukkan kedua-duanya memasuki pusat tahfiz berkenaan sebelum kebakaran berlaku.

Berhujah lanjut peguam itu mengatakan walaupun wujud perbualan ‘bila nak bakar tahfiz’, namun tiada keterangan yang menunjukkan responden kedua terlibat dalam perbualan itu.

Mengikut pertuduhan kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara pukul 4.15 pagi hingga pukul 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Abdullah mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Ini kerana berdasarkan material semasa kejadian Mahkamah Tinggi memgguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana seksyen itu menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara pada 28 Januari 2020, mahkamah sama membuat keputusan melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI