fbpx

Mahkamah: Rayuan remaja bunuh 23 penghuni pusat tahfiz Ittifaqiyah 14 Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan pusat tahfiz Ittifaqiyah yang terbakar dan menyebabkan 23 penghuninya terbunuh dalam kejadian menyayat hati enam tahun lalu.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 14 Julai ini bagi keputusan rayuan seorang remaja lelaki atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian menyayat hati enam tahun lalu.

Rayuan itu adalah berhubung remaja dan juga penama pertama yang kini berusia 22 tahun itu telah disabitkan dengan hukuman penjara selama tempoh mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong atas pertuduhan itu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abu Bakar Jais, yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Pada tarikh sama, mahkamah turut akan memutuskan rayuan pihak pendakwaan terhadap seorang lagi penama kedua berusia 22 tahun yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan sama.

Dalam prosiding hari ini, penama pertama selaku pemohon diwakili peguam Haijan Omar. Peguam itu juga turut mewakili penama kedua.

Sementara itu, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.

Dalam kejadian 14 September 2017 itu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua penama yang berusia 16 tahun (ketika kejadian) itu didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur antara pukul 4.15 pagi hingga pukul 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Berikutan itu pertuduhan terhadap mereka dikemukakan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Bagaimanapun pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan salah seorang daripada mereka yang juga tertuduh kedua dalam kes itu tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu.

Kemudian pada 17 Ogos 2020, tertuduh pertama kes itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tersebut.

Hakim Datuk Azman Abdullah ketika memutuskan kes itu menyatakan pihak pembelaan tidak menafikan fakta bahawa terdapat dua tong gas dibawa naik dari bahagian dapur ke hadapan pintu bilik mangsa-mangsa.

Keterangan saksi-saksi turut menyokong mengenai kewujudan petrol dan tong gas di pintu utama pusat tahfiz yang juga merupakan laluan utama untuk keluar.

Salah seorang saksi pendakwaan ketika memberi keterangan menyatakan dia, tertuduh pertama dan beberapa rakan lain berkumpul di sebuah warung kira-kira pukul 2.38 pagi dan ketika di warung terbabit terdengar seseorang bertanya “bila nak bakar tahfiz?” namun tidak dapat mengenal pasti pemilik suara berkenaan.

Tertuduh pertama itu bagaimanapun tidak dikenakan hukuman mati kerana ketika kejadian tertuduh merupakan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

Namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018, seramai 71 orang saksi pendakwaan manakala enam saksi pembelaan telah dipanggil untuk memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI